nuffnang ads

Tuesday, December 7, 2010

PEMIMPIN MESTI TURUN BANTU RAKYAT, SEBELUM RAKYAT TURUNKAN PEMIMPIN

KEDUDUKAN seseorang pemimpin selain telah ditetapkan Allah, dipengaruhi juga oleh doa dan tindak tanduk rakyat, jika itu yang Allah mahukan!

Maka sedarlah pemimpin, kedudukan tinggi yang dihormati dan kadang-kala dimuliakan serta diagungkan secara keterlaluan oleh segelintir rakyat selama ini sebenarnya hanyalah bak telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja akan jatuh dan pecah.

Untuk kekal di tempat yang sama, pemimpin seperti kata Najib Razak mesti turun mencari rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat. Tidak kiralah sama ada mereka pemimpin kerajaan mahupun pemimpin parti pembangkang. Zaman duduk di atas kerusi empuk sambil mengunyah senyum dan senang-lenang telah tiada! Bila-bila masa rakyat yang terpinggir dan dipinggirkan akan berusaha mengalih duduk itu ke tempat lain. Kalau beruntung, dialihkan duduk ke atas tikar. Kalau malang, dialihkan rakyat duduk pemimpin itu di tepi longkang.

Sementelah pula pilihanraya semakin dekat. Percayalah, akan ada seperti tidak percaya dialihkan tempat duduknya kali ini oleh rakyat yang marah. Rakyat yang lapar, letih dan sakit tidak mempunyai pilihan kecuali mengusung pemimpin yang angkuh dan lupa diri ke tempat paling hina kali ini. Percayalah!

Sebelum malang itu terjadi, turunlah dan bantulah rakyat yang mengharapkan pembelaan. Jika ketika kempen pilihanraya pemimpin boleh sanggup meredah belukar dan meranduk air untuk menagih simpati dan undi, kenapa ketika diberi kuasa, kesungguhan itu hilang begitu sahaja. Di mana keikhlasan dan kejujuran telah diletakkan?

Rakyat menderita yang lapar, sakit dan letih tidak pernah mahu berada dalam keadaan begitu. Namun pemimpin yang tugasnya memimpin dan membela haruslah menunjukkan keprihatinan membela golongan ini. Jangan kita lupa, konon selepas 53 tahun merdeka rakyat telah senang lenang oleh perjuangan selama ini. Sebenarnya itu hanyalah tanggapan pada golongan pemimpin yang gemar bermimpi. Realitinya, 53 tahun yang berlalu hanyalah tidak ubah onak dan duri yang sentiasa mencakar kehidupan rakyat. Hakikatnya, rakyat tidak sesenang seperti yang difikirkan.

Dalam keadaan semasa yang dicengkam oleh seribu satu masalah, rakyat bagai sampah yang tiada harganya!
Rakyat dibelenggu pendapatan tidak mencukupi, angkara kos kehidupan amat tinggi dan kenaikan harga barangan yang di luar akal! Rakyat menangis di kampung-kampung. Adakah pemimpin tahu?

Rakyat kini tidak mampu lagi dibuai mimpi oleh janji. Rakyat hari ini tidak mampu lagi dijadikan gurkha perjuangan untuk kepentingan dan kesenangan pemimpin, kaum keluarga dan rakan-rakan pemimpin sahaja. Rakyat juga mahu merasai daging nikmat kemerdekaan dan bukannya tulang sisa kekenyangan yang diludahkan pemimpin ke tanah! Rakyat telah tidak mampu lagi menjadi sebegitu hina.

Turunlah dan bantulah rakyat yang menderita. Ini adalah baris-baris doa dan harapan yang mewakili rakyat yang sengsara. Ingatlah pemimpin, selagi anda tidak sudi masuk ke dalam degup nafas kemiskinan mereka, selagi itulah doa mereka yang harum-harum tidak akan sampai untuk mengiringi kehidupan anda sepanjang masa. Maka akan terseksalah anda menerima pembalasan Allah dalam keadaan paling hina dimalukan.

Jika anda sebagai pemimpin merasai apa yang anda kecapi adalah hasil perjuangan anda sendiri dan anda tidak peduli lagi pada rakyat yang merempat dan melarat, terpulanglah! Tapi ingat, rakyat mempunyai kuasa doa yang amat hebat dan Allah mendengar doa mereka yang dianiayai.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10