SEORANG bayi perempuan berusia 6 bulan, Alia Maizara Mohd Azim ditemui mati dalam pangkuan ibu kandungnya kira-kira jam 6 pagi tadi, di sebuah rumah di Kampung Gaal Tengah, Pasir Puteh, Kelantan.
Kejadian itu disedari datuk bayi berkenaan yang juga bapa suspek, Che Muda Salleh, 60. Menurut Che Muda, dia terdengar bunyi orang menjerit dan mengesyaki sesuatu yang pelik sebelum terlihat cucunya dipangku oleh ibunya dalam keadaan tidak bergerak.
Ketika itu kata Che Muda, anak perempuannya menangis sambil menjerit-jerit lalu dia bertindak mengambil bayi itu dan terus ke Hospital Tengku Anis. Bagaimanapun, pegawai perubatan mengesahkan bayi malang itu telah meninggal dunia.
Che Muda kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) memaklumkan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal berkata, bertindak atas laporan itu polis kemudian menahan ibu mangsa untuk siasatan.