POLIS menahan seorang pembantu rumah Indonesia, berusia 21 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Kampung Lubuk, Tapah, Pasir Mas, Kelantan, petang tadi.
Pembantu rumah itu disyaki terbabit dalam kes bunuh Yeap Seok Pen, 60, yang mayatnya ditemui berdarah di bahagian muka oleh seorang anak lelakinya kira-kira jam 2 petang.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC11 Mazlan Lazim, berkata mangsa dipercayai dibunuh di antara jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari tadi.
"Ketika kejadian, hanya mangsa dan pembantu rumah itu sahaja berada di rumah berkenaan dan jiran ada terdengar suara orang bergaduh," katanya.
Pembantu rumah itu ditahan ketika dia berjalan kaki di Simpang Empat, Jalan Tok Uban kira-kira jam 5.15 petang tadi.