SEPASANG dipercayai kekasih, begitu berani menyamar, masing-masing berlagak sebagai anggota polis dari Bukit Aman dengan membuat beberapa pemeriksaan ke atas orang awam di kompleks beli belah dan di tepi jalan di sekitar Kuala Terengganu semalam.
Tindak tanduk mereka yang membuat pemeriksaan bagaimanapun dikesan dan dicurigai oleh dua anggota polis yang sedang meronda. Muskyil ada sesuatu yang tidak kena, kedua-dua anggota polis itu mengintip pergerakan pasangan kekasih berkenaan.
Mereka mengekori pasangan itu hingga ke tempat letak kereta kompleks beli-belah. Pasangan itu dilihat berada di dalam kereta memakai jeket polis dan kemudian bergerak ke Jalan Air Jernih. Kedua-dua anggota polis semakin curiga dan bertindak lagi mengekori pasangan itu.
Setibanya di Jalan Air Jernih, pasangan penyamar polis itu berhenti pula untuk menahan seorang wanita yang menunggang motosikal. Menyedari ada yang tidak kena, kedua-dua polis yang mengekori di belakang terus menghampiri dan bertanyakan latar belakang pasangan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan, berkata pasangan terbabit dengan mula selamba menjawab mereka bertugas di Bukit Aman.
Bagaimanapun, apabila diminta menunjukkan kad kuasa, mereka mula gelabah dan selepas didesak, kedua-duanya hanya mampu menyerahkan kad pengenalan awam dan lesen memandu sahaja!
Apa lagi, mereka pun digari dan dibawa ke balai polis atas kesalahan menyamar dan memeras ugut. Pemeriksaan polis di dalam kereta dinaiki pasangan penyamar itu menemui gari, lampu siren, pasport Indonesia dipercayai diambil daripada mangsa mereka dan DAUN GANJA. Nah engkau...tahulah kita bahawa mereka itu adalah penagih dadah!
Pasangan lelaki yang diberkas itu berusia 27 tahun manakala teman wanitanya 22 tahun. Sekarang ada di lokap!