NEGERI maju, tapi mentaliti rakyatnya masih kekal pada kelas ketiga. Demikian menggambarkan perbuatan segelintir rakyat Melaka apabila menyambut tahun baru hijrah 1432 dengan mencuri tabung derma di Masjid Al-Ehsan, Kampung Limbongan.
Keadaan itu amat menyedihkan, apatah lagi ia dilakukan dua kali berselang sehari dengan melakukan kebiadaban memecah tabung itu menggunakan besi tungku yang dipercayai diambil dari stor. Malah besi tungku itu ditinggalkan pula di ruang solat.
Imam 2, masjid berkenaan, Shaudin Jalil, seperti dilaporkan Mohamad Yatim Latip HM, berkata kejadian itu disedari oleh Lembaga Masjid, Zakaria Tamby, 60, ketika membuka masjid berkenaan jam 5 pagi sebelum solat Subuh.
Menurutnya, sebak memasuki ruang solat utama masjid, Zakaria terkejut melihat dua tabung derma diumpil sebelum menjumpai besi tungku di tepi peti besi yang kunci mangganya telah dirosakkan.
Menurut Shaudin, wang derma dalam peti besi itu dianggarkan lebih RM100 dan kebiasaannya meningkat jumlahnya sehingga RM250 hingga RM300 selepas solat Jumaat.
"Kami kesal terhadap kejadian ini malah tidak menyangka rumah ibadat dijadikan sasaran penjenayah semata-mata untuk memuaskan nafsu mereka mendapatkan hasil dengan cara mudah.
"Kejadian ini menunjukkan mereka yang melakukan jenayah seumpamanya langsung tidak menghormati rumah Allah, sekali gus menggambarkan mereka yang bertanggungjawab tidak takut hukum Allah," katanya.
Beliau berkata, kali kedua masjid berkenaan diceroboh awal pagi Sabtu lalu, sehari selepas kejadian pertama dan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Malim mengenai kejadian itu.