SERENTAK Malaysia berjaya menempah tiket ke peringkat akhir Piala Suzuki AFF, jurulatih Vietnam Henrique Calisto menerima pesanan 'telegram' pecat daripada persatuan bola sepak Vietnam membuktikan khidmatnya sudah tidak lama dikehendaki!
Saat-saat sedih Calistro sudah mula dikesan apabila dia sering menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali, terutama sebaik sahaja salah seorang pemainnya diberikan kad merah kerana sengaja menjatuhkan diri di kotak penalti Malaysia.
Selepas terbukti anak buahnya gagal menembusi pertahanan Malaysia, Calistro tidak lagi berdiri memberi arahan kepada pemain-pemainnya. Dia lebih banyak tercegat memandang jauh ke tengah padang.
Dia seolah-olah sudah dapat merasakan, telegram 'pecat' akan diterimanya sebaik sahaja tamat permainan. Selepas lebih 10 tahun berada di Vietnam, Calistro akhirnya perlu akur bahawa segala usahanya untuk memastikan Vietnam ke peringkat akhirnya terkubur di tengah jalan. Disekat Malaysia yang terbukti kental untuk dibolosi.
Keputusan seri 0-0 tidak membawa apa-apa sinar buat Vietnam. Dengan kelebihan 2 gol, Malaysia telah disahkan akan menunggu di antara pemenang di antara Filipina dan Indonesia untuk beraksi di peringkat akhir.
Selamat pulang Malaysia, Selamat Jalan Calistro/Vietnam!