KEWUJUDAN kedai runcit dikendalikan warga Acheh di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka yang dianggarkan jumlahnya mencecah 10,000 sehingga kini sepatutnya membuka mata kerajaan untuk melihat sesuatu yang sedang bercambah perlahan-lahan di pasaran ekonomi dan kewangan negara ini!
Tentang siapa pembiaya modal atau 'bankers' yang menjadikan kedai runcit itu mampu bertahan dari serangan kewujudan pasaraya besar atau hypermarket dan sekaligus menenggelamkan semakin banyak kedai runcit dikendalikan rakyat negara ini, menjadi soalan paling utama.
Kerajaan tidak boleh terlambat dalam menangani isu ini kerana kedai runcit Acheh jika dibiarkan boleh menjadi api dalam sekam yang bakal mencetuskan sesuatu di luar duga terutama di segi keselamatan sejagat dua negara, Malaysia dan Indonesia!
Kerajaan juga mesti melihat kewujudan kedai ini dari sisi yang lebih dalam dan luas kerana dibimbangi ada dalang 'luar biasa' berdiri di belakangnya sebagai pemodal yang menggunakan dana luar biasa jumlahnya. Persoalannya ialah kita tidak boleh memandang ringan daripada mana sumber dana itu datang.
Kaitan antara pemodal yang membiayai kewujudan kedai runcit ini dengan kegiatan militan dan pengedaran dadah mesti diletakkan sebagai fokus utama, terutama sejak kebelakangan ini beberapa kes militan Acheh ditahan di negara ini.
Sebagai contoh, tangkapan terbaru ke atas Fadli Sadama, 27, yang ditahan dalam bas ketika menuju ke Johor yang memiliki dua pucuk pistol untuk diseludup bagi tujuan militan tidak boleh dipandang ringan. Apatah lagi, dipercayai Fadli ini adalah antara kumpulan miitan yang telah merompak jutaan ringgit dari bank CIMB di Medan.
Kita tidak mahu duit jenayah di negara lain cuba dibersihkan di negara ini menggunakan perniagaan yang amat meragukan!
Tangkapan seorang lagi militan Acheh di Shah Alam pada 29 September lalu juga mengukuhkan andaian bahawa kehadiran mereka di negara ini bukan sahaja boleh membimbangkan di segi keselamatan, tetapi bakal memperbanyakkan lagi kes penggubahan wang haram.
Tidak mustahil wang rompakan yang dilakukan oleh militan ini di beberapa bank di Indonesia digunakan untuk membiayai ribuan kedai runcit Acheh di negara ini dan hasilnya digunakan semula bagi membiayai kegiatan keganasan yang boleh mencetuskan huru hara di Asean!
Kita tidak perlu menunggu sehingga musuh muncul dengan kelibat tubuhnya di depan mata baru mahu bertindak, tetapi langkah awal dengan peka kepada bunyi derap sepatu sudah cukup membantu kita untuk menangani sebarang kemungkinan pada masa depan.
Adalah mustahil perniagaan kedai runcit ini boleh bertahan lama jika tidak disokong oleh pemodal atau pembiaya yang mempunyai dana amat besar. Soalnya siapa pembiaya itu?
Kalau benarlah kedai Acheh itu milik perseorangan, apa benarkah hampir 10,000 kedai yang ada itu dimiliki oleh 10,000 rakyat Acheh yang mempunyai modal besar. Kalau itu kenyataannya, bertanya juga hati kita rakyat di negara ini betapa kayanya orang Acheh. Dan kalau kaya pula, kenapa mereka masuk ke negara ni?