RAKYAT khususnya di Selangor semakin ramai bersolat hajat memohon agar ditunjukkan sesuatu demi untuk kebaikan rakyat!
Maka apabila Allah perkenaan doa mereka yang teraniaya dan diberikanNya sedikit isyarat - apa yang berlaku hari ini, mestilah direnungi oleh pemimpin.
Rakyat berdoa agar hak mereka tidak diperkotak-katikkan atas nama politik. Rakyat berdoa siang malam selepas mereka mulai sedar bahawa selama ini mereka tidak mendapat apa-apa kecuali kaya dalam kemiskinan dan mewah dalam kemelaratan.
Dari Perlis sampailah ke Johor, kemudian singgah ke Sabah dan Sarawak. Lihatlah pada rakyat khususnya orang Melayu. Ditaburkan sebutir beras, beribu berkejar menyabung nasib. Ramai tiada pekerjaan, kalau ada berpekerjaan pun cukup sekadar membeli dua tiga ekor ikan kering dan secekak sayur.
Apakah ini dinamakan KOMPETEN ITU? Selepas diberi peluang 53 tahun, kompetenkah kita kalau Dasar Ekonomi Baru 30 peratus ekuitinya masih tidak tercapai? Kompetenkah kita andai negara dikatakan akan bangkrap pada tahun 2019? Kompetenkah kita kalau dilihat kita terpaksa mengurangkan subsidi, konon untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban negara? Kompetenkah kita selepas diberi peluang 53 tahun, akhirnya kita salahkan rakyat. Kita bebankan rakyat untuk menanggung dan menjawab segala kesulitan yang berlaku.
Masih basah ungkapan bahawa pemimpin mesti menyelesaikan masalah rakyat! Maknanya rakyat tidak mahu peduli. Pemimpin mesti bertanggungjawab sebab rakyat yang memilih mereka menjadi pemimpin. Tapi kini menjadi di sebaliknya. Rakyat pula didesak dan digerakkan secara halus untuk membantu mengatasi segala kemelut yang didepani negara!
Sepuluh butir nasi dalam genggaman tangan rakyat kini hanya tinggal lima butir untuk disuap ke mulut. Merdeka dan kompetenkah?