JUMLAH penduduk yang dipindahkan akibat banjir di Perlis meningkat sekali ganda, apabila sehingga tengah hari ini lebih 3,000 mangsa telah dipindahkan, ekoran air terus naik di beberapa kawasan menyebabkan keadaan semakin berbahaya.
Bilik Operasi Banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, telah menubuhkan 23 pusat pemindahan sementara bagi menampung jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat itu.
Jabatan Pelajaran Negeri pula mengeluarkan arahan menutup 11 sekolah di negeri itu kerana air naik dan berbahaya kepada keselamatan pelajar serta guru.
Pengarahnya, Mansor Lat, berkata arahan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa berdasarkan situasi banjir yang dilaporkan semakin memburuk. Selain sekolah, beberapa bangunan kedai dan bangunan kerajaan termasuk juga hospital dilaporkan turut dinaiki air.
Sementara keadaan hujan yang belum berhenti sejak tiga hari lalu, keadaan dijangka semakin buruk dan tidak mustahil boleh mengulangi banjir besar seperti yang berlaku pada 2005.