nuffnang ads

Friday, November 5, 2010

ULASAN TERHADAP TULISAN DATUK REJAL ARBEE: PNB WAJAR FIKIR SEPULUH KALI BINA MENARA 100 TINGKAT

KALAU ikutkan kata Datuk Rejal Arbee, bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, banyak sangat orang keliru dan banyak sangat yang mengelirukan kononnya cadangan pembinaan Menara 100 tingkat akan bazirkan wang rakyat.

Malah Rejal amat mempertahankan cadangan itu kerana katanya ia bukan projek kerajaan dan PNB sebagai pengurus dana sebuah saham amanah yang amat besar lebih tahu bagaimana untuk melaburkan simpanannya demi untuk mencari keuntungan.

Mungkin benar apa yang dikatakannya seperti ditulis dalam kolumnya di dalam Berita Harian. Cuma banyak yang tidak Rejal jelaskan supaya keadaan menjadi lebih rasional dan agar tulisan itu tidak kelihatan teramat cenderung mendukung satu idea dan perjuangan politik kerajaan dan sebuah agensi yang ada kaitan dengan kerajaan!

Memang benar cadangan pembinaan Menara 100 tingkat itu bukan projek kerajaan dan memang benar ia dicadang dan bakal dilaksanakan oleh PNB yang juga tuan punya tanah di tapak cadangan projek berkenaan. Bagaimanapun yang kurang benar ialah apabila Rejal tidak menyertakan sama 'hak' rakyat dalam membuat keputusan bagi sebuah projek mega menelan lebih RM5 bilion itu di dalam tulisannya.


Pertama, mahu atau tidak mahu Rejal harus mengakui bahawa istilah pelabur di dalam skim amanah yang dikendalikan PNB selama ini adalah sama merujuk maknanya sebagai 'rakyat'.

Kedua, kita harus mengakui rakyat keturunan Melayu/Bumiputeralah yang menjadi perintis menabung dalam dana saham itu menerusi Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera(ASB). Menerusi dana terkumpul yang dilaburkan rakyat inilah, PNB sebenarnya mampu bergerak dan menggerakkan perniagaannya.

Ketiga, kita juga harus mengiyakan bahawa adalah satu amanah pelabur untuk memberi keyakinan kepada pentadbir amanah saham mereka untuk merangka dan merencana pebagai projek bagi mencari keuntungan ke atas setiap sen duit yang mereka laburkan.

Keempat dan yang paling penting ialah, persoalan amat besar mempunyai siginifikan dengan 'hak' pelabur iaitu, adakah majoriti pelabur telah diyakinkan bahawa projek Menara 100 tingkat itu akan membawa keuntungan? Apakah perjanjian sebagai pemegang amanah boleh membenarkan PNB membuat keputusan secara total dalam satu pelaburan sebegitu besar dengan meminggirkan hak dan pandangan rakyat atau pelabur?

Jika PNB berkeras mempertahankan cadangan pembinaan Menara 100 tingkat itu adalah hak dan rancangan mereka dan bukannya ada kaitan dengan kerajaan, bagaimana pula hak di kalangan pelabur yang semestinya tidak semua menyetujui cadangan berisiko besar itu?

Perlu kita ingat bahawa tidak ada lagi projek sebegitu di negara ini yang membawa atau memberi keuntungan sosial yang bersifat dua hala kepada orang Melayu kecuali sedikit jaminan jika projek itu menguntungkan, pelabur akan mendapat tambahan dividen (kalau benar ada tambahan dividen). Belum ada atau belum pasti PNB memberi jaminan bahawa pelabur dalam dana ASN atau ASB akan menjadi salah seorang penyewa di bangunan berkenaan yang pasti akan diletakkan harga sewanya di luar kemampuan mereka. Sebaliknya yang untung adalah orang luar, termasuk orang asing yang tidak ada kena mengena dengan sejarah awal penubuhan PNB dulu!

Inilah yang dimaksudkan keuntungan sosial dua hala dalam projek mega ini. Adakah pelabur Melayu akan mendapat untung dua halanya dengan mampu berniaga di bangunan itu, selain mendapat dividen sekitar 5-6 peratus setahun? Adakah dividen yang diperolehi itu boleh kita takrifkan sebagai 'untung' kepada pelabur sebaliknya bagaimana pula dengan orang asing yang bakal mengaut jutaan ringgit hasil perniagaan di bangunan berkenaan? Kita seharusnya belajar daripada sejarah pembinaan beberapa kompleks mega besar seperti KLCC dan kompleks beli-belah Alamanda yang telah terbukti menjadi 'kubur' bagi peniaga Melayu.

Apakah menara 100 tingkat ini satu lagi manifestasi PNB untuk mengesahkan keranda mahal sentiasa dibina di negara ini untuk peniaga Melayu merangkap pelabur di dalam dana PNB.

Maka eloklah kita berbalik kepada persoalan awal iaitu kenapa rakyat membantah cadangan pembinaan Menara bergalah-galah tingginya itu. Persoalan bahawa kerajaan tidak terlibat memang benar. Cuma penglibatan rakyat menerusi pemilikan amanah sahamnya di dalam PNB tidakkah boleh dianggap sebagai satu suara yang sah dan tulen membantah projek mega itu?

Apatah lagi PNB itu amat rapat dengan kerajaan, bak kuku dan isi. Rasanya tidak salah rakyat membantah, khususnya orang Melayu/pelabur dalam PNB kerana mereka ada hak untuk bertanya dan mencurigai tentang risiko dan kerugian dalam pelbagai yang bakal mereka depani. Perlu sangat diingat, kalau rugi yang datang, pelabur kecil-kecilan yang merana. PNB hanyalah satu entiti  yang fizikalnya cumalah bangunan dan nama tanpa mempunyai nyawa serta boleh dibunuh, dikubur atau dimatikan begitu sahaja. Namun pelabur ASB/ASN pula adalah manusia yang ada jiwa dan roh dan mereka sentiasa perlu memenuhi fitrah hidupnya seperti makan minum setiap hari. Kerugian bagi mereka amat besar maknanya dan tidak bagi PNB.

Barangkali Rejal boleh melihat sisi bantahan rakyat merangkap pelabur ASN/ASB terhadap cadangan pembinaan menara itu dari sudut yang 360 darjah bukaannya! Lebih luas dan jelas tanpa terikat oleh kasih dan sayang pada kerajaan tanpa batas!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10