nuffnang ads

Saturday, November 27, 2010

KELUARGA MELAYU MELARAT DI KAMPUNG SUNGAI RINTING, JOHOR: LAMBANG PERJUANGAN MEMBELA NASIB MELAYU SEJAK 53 TAHUN LALU

Sebelum pemimpin kita tidur lena, bacalah sebabak daripada kisah dukacita orang Melayu ini

ITULAH ISTANA, itulah syurga mereka. Sebuah teratak buruk berdindingkan sehelai langsir. Di dalamnya bernafaslah sebuah kehidupan yang dihuni oleh lima sekeluarga di Kampung Sungai Rinting, Johor Bahru.

Lebih menyedihkan, ketua keluarga yang sepatutnya mencari rezeki kini lumpuh selepas diserang angin ahmar dan sejak empat bulan lalu, keluarga itu terpaksalah meraih simpati pada ihsan dan bantuan jiran-jiran.

Menceritakan kedaifan itu, Murnawati Khamidin, 33, berkata bahagian dapur serta ruang depan pondok usang itu juga tidak berbumbung.

"Setiap kali hujan, kami terpaksa menadah air hujan menggunakan baldi. Tidur dalam keadaan basah akibat tempias hujan, rumah ini bila-bila masa sahaja boleh runtuh," katanya.

Suaminya, Hassan Jusoh, 56, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas, tiba-tiba diserang angin ahmar dan kini bukan setakat lumpuh malah tidak boleh bercakap.

Suri rumah itu berkata, kehidupan mereka mula berubah sejak petaka itu dan walaupun jiran dan saudara sering membantu, ia tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan keluarganya.

"Lebih menyulitkan, kediaman dihuni tiada kemudahan elektrik mahupun bekalan air. Bagi mendapatkan bekalan itu, kami terpaksa ke Flat Seri Meranti berhampiran. Meskipun tidak perlu menjelaskan sewa, kami dibebani dengan caj elektrik dan air yang dibekalkan oleh pihak berkenaan iaitu RM60 untuk air dan RM100 untuk elektrik," katanya.

Anak sulungnya, Hasfahella, 11, berkata dia memahami kesulitan dilalui keluarganya, tetapi dalam susah payah terpaksa juga meneruskan pengajiannya di sekolah.

"Setiap hari saya perlu bangun  seewal jam 6 pagi dan meredah laluan sunyi sejauh 5 kilomter untuk ke sekolah kerana keluarga tidak mampu membayar kos pengangkutan RM30 sebulan" katanya.

Anak sekecil itu pernah cedera dilanggar motosikal ketika berjalan ke sekolah, tetapi itu baginya hanya sebahagian daripada harga yang perlu dibayarnya kerana menjadi anak seorang miskin.

Demikianlah, sedikit daripada puluhan ribu kisah kemelaratan keluarga Melayu di negara ini. Orang politik Melayu jangan terasa hati kerana inilah hasil daripada perjuangan yang dilaung-laungkan selama ini! Perjuangan retorik yang berbalut kepalsuan semata-mata.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10