nuffnang ads

Monday, November 8, 2010

KALAU TAHU KELAPA TAK CUKUP DI MALAYSIA, KENAPA TAK DIRANCANG DASAR PENANAMAN UNTUK ATASINYA: DI MANA KITA LETAKKAN KEPALA UNTUK SELESAIKAN MASALAH KELAPA

SETIAP kali menjelang perayaan, masalah kekurangan kelapa telah menjadi masalah rutin yang amat memeningkan kepala pengguna.

Sepanjang Aidilfitri lalu sahaja, di Pulau Pinang misalnya, Fama terpaksa mengimport 50 tan kelapa dari Thailand seminggu atau lebih kurang bersamaan 40,000 biji kelapa seminggu. Maknanya, di Pulau Pinang penggunaan kelapa import mencecah160,000 sebulan tidak termasuk kelapa yang dikeluarkan dari penanam tempatan yang dianggarkan 150,000 biji sebulan!

Itu hanya di Pulau Pinang. Berbanding di Lembah Klang yang memerlukan lebih 2 juta biji dalam tempoh sama, tetapi pengedar hanya mampu membekalkan 1 juta biji sahaja sebulan!

Untuk mengatasinya, Kementerian Pertanian dan Asas Tani terpaksa mengimport berpuluh-puluh tan kelapa dari luar negara bagi memastikan bekalan kelapa mencukupi. Masalah itu sebenarnya bukan berlaku tahun ini sahaja, tetapi telah berlarutan bertahun-tahun.

Melihat ke bumi Malaysia, jika sebiji kelapa dibalingkan ke belakang rumah, tiga minggu keluarlah sulurnya, tanda ia mampu tumbuh. Sebagai tanda tanah negara kita subur.

Persoalan kini ialah di mana kita letakkan kepala untuk menyelesaikan masalah kelapa? Apakah Kementerian Pertanian dan Asas Tani yang diterajui Noh Omar hanya mampu menyelesaikan masalah ini dengan mengimportnya semata-mata? Sehingga bila kita mesti melaksanakan dasar import ini untuk menyelesaikan masalah pengguna?

Tidakkah menteri dan kementerian menerusi agensi berkaitan seperti LPP, Fama, dan Mardi misalnya mempunyai pilihan lain, misalnya dengan menyediakan satu dasar baru yang komprehensif dengan mewujudkan ladang kelapa demi memenuhi tuntutan keperluan pengguna. Berdasarkan statistik guna tanah yang masih ada di negara ini, 60 peratus masih boleh digunakan untuk menanam pelbagai hasil pertanian bagi kegunaan penduduk tempatan. Tidakkah terfikir oleh kementerian atau Noh Omar untuk menyegerakan penanaman kelapa bagi membantu keperluan rakyat?

Dengan paling kurang 10 juta kelapa digunakan sebulan menjelang perayaan di negara ini dan jika kelapa di ladang harganya hanyalah 50 sen sebiji, sudah tentu ada RM5 juta berkitaran dalam saku peladang tempatan jika diwujudkan ladang kelapa secara sistematik dan besar-besaran di negara ini! Jadi kenapa Noh dan kementeriannya asyik-asyik memikirkan soal import. Sama seperti masalah kekurangan gula. Tebu yang boleh ditanam merata di negara ini tidak diberi perhatian, sebaliknya 99 peratus gula mesti diimport.

Kita bimbang jika kepala tidak digunakan secara betul dalam menyelesaikan masalah kelapa ini, rakyat di negara kita sampai ke sudah akan berdepan masalah tidak cukup bekalan. Di satu sisi, apa guna ada kementerian pertanian kalau masalah ini terus-terusan menjadi masalah yang tidak selesai. Lebih baik kementerian itu ditukar namanya kepada kementerian import barang pertanian!

Noh Omar kena melihat masalah tidak cukupnya bekalan kelapa sama seperti tidak cukupnya gula, tepung dan pelbagai barangan lain termasuk beras yang kesemuanya mesti diimport. Masalah ini mesti dilihat dan difikirkan menggunakan  kepala yang lebih cerdik cara fikirnya. Kita bukan Singapura atau Jepun yang tidak mempunyai cukup tanah. Kita mempunyai tanah amat luas yang dianugerahkan Allah untuk keperluan rakyat sendiri. Maka gunakan semua keistimewaan yang Allah beri ini dengan cara bijak dan pintar. Bukan hanya tahu berpolitik menjual temberang semata-mata!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10