nuffnang ads

Tuesday, November 9, 2010

IKLAN DEEPAVALI DI TELEVISYEN: HINDU SANGGAM JANGAN EMOSIONAL KETERLALUAN!

PENGIKLAN di negara kita kena lagi. Dulu TV3 yang kurang sensitif menyiarkan iklan berperisa Kristian dalam iklan sambutan Aidilfitrinya, terpaksa akur dengan bantahan umat Islam sehingga menghentikan iklan itu. Sehingga TV3 meminta maaf. Sehingga TV3 didenda RM50,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Kini, iklan terbitan Finas pula jadi sasaran. Iklan sempena Deepavali yang menggambarkan seorang lelaki India menganut Islam dengan isterinya bangsa Melayu Sarawak beragama Islam mendapat bantahan Hindu Sanggam. Mereka membantah kerana kononnya kenapa pula orang India masuk Islam yang dijadikan fokus iklan, sedangkan ia untuk sambutan keagamaan penting mereka - Deepavali!


Kita faham tentang makna dan nilai yang diletakkan setiap penganut apa agama sekali pun ke atas setiap perayaan keagamaan mereka. Seboleh mungkin mereka tidak mahu perayaan itu dicemar oleh unsur hatta bau lain daripada unsur atau bau agama masing-masing dalam perayaan itu.

Namun dalam bantahan Hindu Sanggam ini, kita sedikit pelik. Rasa sensitif mereka seolah-olah terkeluar daripada kotak fikir dan tanggapan. Seolah-olah melibatkan orang India Islam dalam iklan menyambut Deepavali itu mencemar agama mereka.

Hindu Sanggam kelihatan amat emosional dengan penyiaran iklan itu kerana menganggap watak lelaki India Muslim dalam iklan itu seperti jarum tajam yang menyakitkan. Tidakkah mereka terfikir pula watak perempuan Melayu Islam di dalam iklan itu yang khusus untuk Deepavali. Kenapa pula umat Islam tidak bising walaupun diketahui iklan itu diterbitkan untuk menyambut Deepavali.

Kini nampaknya konsep 1Malaysia yang dilaungkan rupanya telah mendatangkan masalah lain - masalah terlebih sensitif sehingga kadang-kala melangkaui tahap pemikiran dan imaginasi yang rasional!

Jika semacam ini cara mereka berfikir, maka kemajmukan di negara ini akan menjadi semakin sulit jika bangsa lain atau penganut agama lain turut mengamalkan cara berfikir yang serupa. Atau dengan kata lain, setiap kaum atau penganut agama akan memastikan, tiada unsur luar bercampur dalam kepentingan atau nilai bangsa dan agama mereka. Kalau beginilah..susah jadinya!

Berbalik kepada iklan sempena Aidilfitri yang disiarkan TV3 sebelum ini, bantahan itu sebenarnya mempunyai asas yang lebih kukuh kerana keseluruhan konsep dan falsafah iklan disiarkan itu terpesong dari nilai agama Islam. Wujud unsur-unsur bertentangan Islam dalam iklan itu seperti terbang dan penggunaan imejan Kristian.

Namun dalam iklan untuk memeriahkan Deepavali kali ini, unsur agama Hindu tidak diganggu, terutama nilai-nilai spiritual agama itu. Sebaliknya yang dipaparkan hanyalah elemen fizikal luaran seorang lelaki India beragama Islam.

Bayangkan jika lelaki India dalam iklan itu beragama Kristian dan isterinya pula wanita Cina beragama Kristian atau Buddha, adakah Hindu Sanggam akan membantah iklan berkenaan? Jujurlah!

Persoalan terus-terang ialah, pelik sangatkah kaum India beragama Islam di negara ini? Aneh sangatkah seorang lelaki India beragama Islam berkahwin dengan wanita Melayu sehingga Hindu Sanggam membuat satu tafsiran yang tajam dan jika diteliti oleh penganut agama lain khususnya Islam akan terasa pedih hati!

Untuk hidup dalam sebuah negara majmuk dan dengan sedar dan faham bahawa Islam adalah agama rasmi negara ini, kita kena membuang emosi keterlaluan. Konsep 1Malaysia bukan lesen untuk kita mendapat seratus peratus apa yang kita inginkan.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10