SEMALAM harga getah SMR20 naik lagi. Kenaikan itu mencecah RM12.44 sekilogram. Harga getah ini naik lagi dari kenaikan tertinggi sebelum ini dua bulan lalu, iaitu RM11.90. Getah mula tinggi nilainya macam emas, walaupun baunya busuk melantung!
Diramalkan 350,000 pekebun kecil getah yang ada kebun seluas 3 ekar akan menikmati pendapatan RM4,000 hingga RM7,000 sebulan dengan kenaikan terbaru ini.
Ada syarikat telah mula menawarkan khidmat menyediakan penyata gaji kepada penoreh getah. Ada bank mula menghantar pegawai pemasaran dan kredit ke kampung-kampug mengedarkan borang pinjaman peribadi dan kad kredit.
Di bandar-bandar besar kakitangan kerajaan yang bekerja sebagai despatch dikatakan ada telah mula menghantar notis 24 jam berhenti untuk mengambilalih tugas ibu bapa di kampung, menjadi guru mengajar anak-anak murid yang berbaris-baris minta ditoreh!
Benar, kenaikan harga getah ini adalah antara tertinggi dalam catatan sejarah dan dijangka trendnya akan berterusan sekurang-kurangnya dua tahun dari sekarang. Mana-mana kebun getah yang telah dijadikan zoo untuk membela ular tedung dan ular senduk, hari ini mula ditebas dan diracun.
Syarikat kawalan keselamatan pula dengar khabarnya berebut-rebut menyediakan sebut harga khidmat kawalan keselamatan kepada pekebun kecil untuk mengawal kebun mereka dan menjaga getah sekerap atau getah buku agar tidak dicuri pada sebelah malam.
Dan Barisan Nasional mesti melihat ini satu ruang baik untuk mengadakan pilihanraya konon apabila apabila saku rakyat mula berisi, mereka akan tutup mulut dan tak akan menyalak lagi. Tunggulah...
Paling utama dan paling penting ketika ini, harga getah telah naik. Kalau dulu orang tua menyorokkan anak dara mereka setiap kali ada pemuda yang bekerja menoreh getah lalu di depan rumah, kali ini keadaannya tentu berbeza. Awas pemuda si penoreh getah, jangan rambang mata. Setiap kali anda pergi dan balik dari menoreh tentu ada sahaja si Milah dan si Minah atau si Bedah akan melempar senyum.
Awas jangan tergoda dan tersilap pilih. Musim sekarang penoreh getah boleh jual mahal sikit. Beli Proton Inspira hujung tahun, bawa pergi ke kebun angkut getah buku...perrggghhh!!