nuffnang ads

Wednesday, November 3, 2010

GANGGUAN ELEKTRIK BERTALU-TALU DI MIRI

KETIKA rakyat mengharapkan projek elektrik Hidro Bakun menjadi ikon menerangi kegelapan di seluruh Sarawak, semakin banyak pula masalah memalukan berlaku akhir-akhir ini melibatkan gangguan elektrik secara bertalu-talu, khususnya di sekitar Miri.

Malam kelmarin sahaja Taman Morsjaya mengalami tiga kali gangguan elektrik, mungkin sebagai menyempurnakan kesinambungan gangguan yang dikatakan berlaku pada kadar purata 10 kali sebulan sebelum ini di kawasan berkenaan.

Akibatnya, banyak pihak menanggung kerugian, terutama di kalangan mereka yang mengusahakan perniagaan seperti pengusaha stesyen minyak.

Dalam kejadian malam kelmarin, gangguan bekalan elektrik berlaku pada jam 6.50 pagi sehingga 7.50 petang. Kemudian ia berulang pada jam 9.10 hingga 9.50 malam. Kemudian sekali lagi gangguan berlaku mulai jam 10.20 hingga 11 malam.

Musibah ini mencetuskan rasa tidak puas hati seorang pemilik stesyen minyak, Johny Tiong, yang mendakwa dalam tempoh gangguan itu berlaku malam kelmarin, beliau kerugian RM5,000! Mungkin kerugian ini tidak banyak bagi pemimpin yang kaya-raya, tetapi cukup besar buat seorang peniaga sederhana. Apatah lagi kalau ia dirasai oleh rakyat marhaen yang melarat!

Selain Taman Morsjaya, kawasan lain yang terlibat dalam gangguan bekalan elektrik yang bertalu-talu ini ialah Riam, Taman Tunku, Taman Jelita, Taman FuTee dan kawasan menuju ke kawasan lapangan terbang di Miri.

Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCO) sepatutnya melihat masalah ini secara serius dan tidak memandang ringan kerana bekalan elektrik adalah hak asasi rakyat yang perlu dipastikan khidmatnya diperolehi secara optimum dan tanpa gangguan.

Pengurus SESCO Miri, Polycarp Wong, pula dipetik mengakui masalah yang berlaku itu tetapi menjelaskannya sebagai berpunca daripada masalah teknikal di dua pencawangnya.

Persoalan berat timbul kini. Sebagai tempat di mana punca bekalan elektrik terbesar sedang mahu dioperasikan, mampukah pemimpin Sarawak memastikan bekalan elekrik di seluruh negeri itu diagihkan secara lancar? Ini melibatkan maruah tentang keupayaan mereka mengendalikan stesyen hdiro Bakun yang turut telah banyak menyumbang kesusahan rakyat, seperti mengeringkan air sungai sesuka hati! (SUD)

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10