DUA pelajar bersahabat karib, berusia 15 tahun terbunuh ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah apabila motosikal yang mereka naiki bertembung sebuah lori di simpang lampu isyarat Muar-Kampung Tengah, Muar, Johor kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Mohd Nazir Abu Bakar, 15, dari Kampung Tengah mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah manakala rakannya Mohd Norazmin Zin Azman, 15, dari Simpang Jeram mati dalam perjalanan ke hospital.
Kedua-duanya adalah sahabat baik, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Abong, Muar Johor.
Pemandu lori yang dalam perjalanan dari Melaka ke Batu Pahat tidak mengalami kecederaan.