nuffnang ads

Tuesday, November 30, 2010

DATIN SERI WAN AZIZAH DIGELAR PELACUR POLITIK: STEADYLAH BRO..

Datin Seri Wan Azizah digelar oleh Pemuda Perkasa sebagai pelacur politik gara-gara ucapannya yang mencadangkan supaya ketuanan Melayu ditiadakan! Wow...marah sangat nampak bro.

Sebenarnya tak ramai pun orang Melayu faham apa itu ketuanan Melayu. Kata orang Melayu, ketuanan Melayu itu apa? Benarkah  ketuanan Melayu bermakna Melayu menjadi tuan di tanah airnya sendiri atau konsep ketuanan Melayu itu memang patut dibuang atau dikekalkan?

Persoalan sebegini sepatutnya bersifat akademik. Dijawab, dikupas dan dihuraikan secara ilmiah. Ketuanan Melayu itu sensitif intinya. Ia masuk terus ke dalam emosi orang Melayu. Perkasa, kita faham memperjuangkan Melayu dan apabila memperjuangkan Melayu, bermakna juga mempertahankan ketuanan Melayu. Kita pun faham kenapa Perkasa terasa hati apabila Wan Azizah cadangkan dibuang sahaja ketuanan Melayu itu.

Ketuanan Melayu dilihat dari sisi mana sekalipun, tetap berkait orang Melayu, tentang semangat orang Melayu tentang Raja Melayu dan tentang apa sahaja yang berkaitan dengan orang Melayu yang amat sensitif untuk disentuh.

Itu kalau dilihat pada istilah dan konsep ketuanan Melayu itu secara bertulis dan lisan. Namun kalau dilihat pada sisi realiti, benarkah ketuanan Melayu itu dipertahankan selama ini? Benarkah ketuanan Melayu dipatuhi semangatnya untuk kepentingan orang Melayu? Inilah persoalan yang amat besar untuk dijawab. Demi menjawab persoalan ini orang Melayu sesama orang Melayu akhirnya jadi bergaduh!

Untungkah? Melayu yang sedia jadi sifat fizikalnya sebagai manusia paling mundur di tanah Melayu ini tidak boleh bergaduh kalau bercerita soal ketuanan Melayu. Melayu yang sedia jadi bentuknya sebagai kelompok paling tertinggal di segi ekonomi di negara ini, tidak boleh bermasam muka apabila bercerita soal ketuanan Melayu. Dan paling penting jangan jadikan isu ketuanan Melayu sebagai deposit untuk memperdagangkan politik!

Ketuanan Melayu dalam perniagaan politik belum tentu menjadi produk atau komoditi yang boleh dijual yang boleh mendatangkan hasil untuk orang Melayu, apatah lagi kalau perniagaan politik itu banyak terjual di pasaran gelap dan 'illegal'.

Kepada semua pihak, kembalilah ke akar masalah sebenar orang Melayu. Akar masalah Melayu bukan ketuanan Melayu. Akar masalah Melayu adalah kegagalan pemimpin Melayu, sama ada dalam kerajaan atau pun pembangkang memahami dan menyelesaikan masalah asas mereka sejak kita merdeka.

Ketuanan Melayu hanya akan wujud dan menjadi simbol amat tinggi nilainya jika bangsa Melayu telah diletakkan pada asas yang amat kukuh dan tinggi nilainya di negara ini.

Kadang-kadang kita terlupa kerana kita hanya melihat dalam liang Melayu tanpa memandang kepada liang agamanya sekali. Melihat ketuanan Melayu mesti melihat pada Melayu dan Islamnya juga.

Marilah kita berajak baik untuk kebenaran dan kepentingan Melayu dan Islamnya. Marilah kita dukung kemuliaan Raja Melayu dan Islam agama rasmi negara ini dengan cara sebaiknya. Apakah harga Melayu dan Islam telah terpelihara sepenuhnya?

Kadang-kala kita harus berterus terang. Apakah hak kita selama ini terpelihara? Saya hanya memetik beberapa misalan untk difikirkan. Kita telah amat bertolak ansur dengan saudara-saudara kita yang lain dalam soal agama. Kita berikan hak bukan Islam untuk minum arak, bina kilang arak, buat kedai judi dan berjudi, berhibur dan buat pusat hiburan. Kita beri hak itu kerana minum arak, berjudi dan berhibur bagi mereka tidak menyalahi agama mereka. Ini amat bagus dan baik untuk kita lakukan kerana kita telah bertolak ansur. Kita lakukan kerana kita menghormati hak bukan Islam untuk melakukan semua itu.

Soalan berkait yang jarang kita fikirkan ialah, siapa pula yang bersedia menghormati hak kita sebagai Melayu Islam untuk melihat tidak ada kedai judi, tidak ada kedai arak dan tidak ada pusat hiburan keterlaluan sifatnya di negara ini? Apakah hak sebagai Melayu Islam ini dihormati? Inilah sebenarnya sebahagian daripada elemen dalam ketuanan Melayu.

Mesej daripada semua ini ialah hal ketuanan Melayu amat sensitif. Orang Melayu jangan bergaduh sesama Melayu hanya kerana isu itu. Tolonglah.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10