HUJAN lebat mengakibatkan sebuah bekas kolam ternakan ikan di Kampung Simpangan, Tumpat dipenuhi air. Keadaan itu mengundang keseronokan kepada empat rakan sebaya berusia 12 tahun untuk berenang, kira-kira jam 3 petang tadi.
Bagaimanapun, keseronokan yang mereka impikan, berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada kanak-kanak berkenaan, Wan Norhafizam Wan Nafi, lemas ketika sedang seronok mandi di bekas kolam ternakan itu.
Wan Norhafizam anak seorang guru adalah pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Neting. Dalam kejadian itu, dia dikatakan lemas secara tiba-tiba menyebabkan rakan-rakannya tergamam lalu memberitahu penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, mengesahkan kejadian itu. Menurutnya, pasukan penyelamat terpaksa mengambil masa sehingga tiga jam untuk mencari mayat Wan Norhafizam ekoran air yang melimpah di kawasan itu.
Jenazah allahyarham dihantar ke Hospital Tumpat, sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.