SELAIN istilah penderhaka kepada bangsa dan negara, seorang Timbalan Penolong Pengarah Imigresen yang ditahan bersama 6 pegawai rendah lain mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru wajar dipanggil bangsat!
Ini kerana dia didapati menyimpan RM9 juta hasil kerja jahatnya dalam kegiatan pemerdagangan orang selama bertugas di LCCT Sepang, selain memiliki hartanah dan kenderaan mewah. Dan paling menyakitkan hati semua wang itu disimpannya di Thailand menggunakan nama isterinya yang juga warga negara berkenaan.
Siasatan pihak berkuasa selepas dia ditahan, mendapati selain wang sebanyak itu, hartanah dan kenderaan mewah juga didaftarkan di atas nama isterinya.
Modus operandi si bangsat ini ialah dengan mengarahkan pegawai bawahannya membenarkan mana-mana kumpulan orang yang memasuki negara ini dengan membawa dokumen meragukan, tanpa perlu ditahan dan rupanya dia telah dibayar oleh sindiket tertentu.
Bersekongkol dengannya adalah enam lagi pegawai rendah yang setiap seorang didapati memiliki wang tunai di antara RM400,000 hingga RM600,000 setiap seorang di dalam akaun simpanan masing-masing.
Kita menjadi keliru dan celaru dengan pembongkaran memualkan ini. Kita pasti yang terbongkar ini hanyalah secubit sahaja manakala si bangsat lain dalam pelbagai jenis pekerjaan masih terlepas. Tindakan tidak boleh dihentikan, demi menjaga daulat negara dan maruah bangsa.
Tidak hairanlah kita melihat berjuta rakyat asing yang dicurigai berada di negara ini sehingga di sesetengah kawasan bilangan mereka melebihi rakyat tempatan!
Jangan salahkan rakyat jika telah sekian lama memandang sinis dengan apa yang berlaku di dalam negara kerana sedikit bukti seperti penderhakaan yang dilakukan oleh pegawai kerajaan seperti si bangsat itu menunjukkan apa yang mereka anggap selama ini, ternyata benar. Rasuah berleluasa. penyalahgunaan kuasa berleluasa.
Ayuh...banteras habis-habisan!