nuffnang ads

Wednesday, November 3, 2010

10 TAHUN JANJI BINA JALAN, JANJI TINGGAL JANJI. RAKYAT SARAWAK TERUS BERDEPAN TRAGEDI SETIAP HARI

KALAU disebut tragedi nahas bot di Tatau, baru -baru ini yang mengorbankan 13 nyawa, tentu masih ramai yang ingat kerana kejadian itu masih basah di hujung lidah.

Pemandangan biasa di sungai-sungai Sarawak. Apakah kita mahu membiarkan tragedi terus berulang? (pix:Mohammad Anuar Abdul Rahman -SUD)
Tetapi untuk mengingati satu tragedi lebih 10 tahun lalu yang mengorbankan 3 nyawa pegawai kerajaan akibat nahas bot di Sarawak, ketika kesemuanya dalam perjalanan melakukan tugas rasmi, belum tentu ada yang mampu melakukannya. Ini kerana sikap kita yang sering lupa sejarah dan selalu sangat pula bersikap tidak apa.

Namun siginifikan di sebalik tragedi mengorbankan tiga nyawa pegawai kerajaan itu amat besar maknanya, bagi Ahli Parlimen Barisan Nasional Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi. Baru-baru ini ahli parlimen itu ada mengimbau kembali tragedi itu dan dipetik oleh akhbar di Sarawak.

Kata Alexander, bertolak daripada nahas itulah kerajaan persekutuan berjanji untuk membina jalan darat yang selesa bagi kegunaan penduduk di Sarawak. Kerajaan berjanji melakukan pembangunan itu dengan menaiktaraf jalan lori balak yang tidak digunakan menjadi jalan awam. Ini janji kerajaan konon sebagai cara mengelak lebih banyak penduduk di negeri itu berdepan tragedi bot karam.

Namun, Alex dipetik sebagai meluahkan kesalan kerana janji itu kini hanya tinggal janji. Janji kerajaan untuk menaiktaraf jalan balak masih tidak ditunaikan sehinggalah satu lagi tragedi lebih besar yang mengorbankan 13 nyawa di Tatau berlaku baru-baru ini.

Kebergantungan penduduk terhadap laluan sungai sebagai prasarana pengangkutan utama masih tidak diberi perhatian. Di sesetengah kawasan termasuk di Kapit, penduduk masih dilihat bersesak-sesak menaiki bot setiap kali mereka mahu bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Keperluan mereka terhadap jalan darat kini dikatakan sangat-sangat mendesak, terutama apabila jumlah penduduk semakin bertambah dan khidmat bot pula dikatakan masih kekal pada tahap lama - mendedahkan penumpang kepada kemungkinan nahas yang lebih kerap.

Apakah masalah yang amat sulit sangat mahu melaksanakan jalan darat di Sarawak? Apakah kerajaan hanya akan melakukan kerja-kerja pembinaan jalan darat yang mencukupi di negeri itu selepas berbelas atau berpuluh lagi nyawa melayang di tengah sungai?

Bukankah prasarana awam adalah sebahagian daripada tuntutan tanggungjawab yang mesti diutamakan?

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10