ADA tiga mak cik ketika membeli ikan kering dan sayur RM2 seikat di tepi jalan di Klang, terdengar berbual sesama sendiri.
Antara bualnya ialah tentang Zizie Izette jual busana muslimah di PWTC sempena Perhimpunan Agung Umno.
Seorang mak cik tu berkerut kening. Seorang lagi mak cik menjuihkan bibirnya. Seorang lagi mak cik geleng-gelengkan kepalanya.
Zizie Izette yang sering kelihatan seksi itu sekarang isteri Bung Mokhtar, ahli Parlimen Kinabatangan. Pasti mak cik tu terkejut, fikir saya. Mana tidaknya, macam mana dia mahu menjual busana muslimah, sedangkan imejnya selama ini terkenal sebagai seksi.
Banyak gambar Izette yang dipaparkan media adalah imej yang feeewiiit. Imej yang fooohhh. Saya pun mencelah walaupun tak kenal.
"Apa salahnya dia nak jual busana muslimah kak? Itu hak dia dan dia pun sekarang mungkin dah jauh berubah di segi penampilan pakaiannya,"
Nak tahu apa jawapnya mak cik bertiga itu?
Begini: "Hei...tolong sikit. Kami ni tak secubit pun nak mengata dia. Kami tak bermaksud apa-apa pun fasal dia tu seksi ke apa ke. Itu hak dia. Kami tadi cuma cakap, untunglah jadi isteri orang kenamaan...senang dapat peluang berniaga kat PWTC.
"Macam kami ni, nak cari orang yang uruskan sewa gerai kat sana tu pun tak tahu. Itu fasal lah kami orang lama dalam Umno ni tak merasa nak berniaga kat situ. Kadang-kadang teringinn juga nak berniaga di sana, tapi tahu-tahu sajalah. Kami ni akar umbi. Tugas kami macam akar pokok. Itu yang kami cerita!"
Saya pun minta maaf.