DARI PWTC hinggalah ke Pelabuhan Klang, terdengar lagu Umno mendayu-dayu memeriahkan perhimpunan Agung yang sedang berlangsung. Dan sempurnalah sebuah parti katanya untuk orang Melayu, dengan cita-cita terbaru mahu mendirikan 100 tingkat menara bangunan.
Orang paling tersenyum bangga dan megah sebenarnya untuk beberapa hari ini bukanlah Najib, tetapi Mahathir. Apabila dia mendengar pengumuman tentang cadangan membina menara 100 tingkat, hatinya bagai melonjak girang dan tak keruan untuk difahami.
Tapi wahai pemimpin-pemimpin Melayu dalam Umno, janganlah terlalu girang pada perhimpunan yang menemukan pelbagai macam wajah ahli parti yang semakin tua itu. Ingatlah dan insaflah bahawa Umno masih gagal melaksanakan tanggungjawabnya di merata tempat sebagai memenuhi amanah kumpulan pemimpin kepada rakyatnya.
Ketika ini ingatlah nyawa yang telah melayang di salah satu sungai di Sarawak. Lihatlah ke dalam diri dan tanyakanlah dengan lapang hati. Kenapa tragedi ini boleh terjadi?
Dalam tempoh memperolehi kuasa lebih 53 tahun, sepatutnya prasarana seperti jalan raya di Sarawak bukan lagi satu masalah yang besar untuk dilaksanakan. Masa telah terlalu lama, sepatutnya kemudahan asas kepada rakyat di Sarawak tidak seperti di hari ini.
Sepatutnya, rakyat di Sarawak tidak ke hulu ke hilir menaiki bot kerana tanah di Sarawak amat luas untuk dibina dengan jalan raya. Umno kena ingat bahawa ini adalah satu kegagalan. Kegagalan Umno/kerajaan memerintah telah mengakibatkan sebahagian besar rakyat negeri itu terdedah kepada pelbagai bahaya, seperti tragedi yang setakat ini telah menelan enam korban.
Ingatlah dan sedarlah tanpa mahu menyalahkan orang lain. Berapa sangat kemudahan yang telah dibina di Sarawak untuk rakyatnya? Jawapalah dengan jujur dan secara terbuka. Mahukah kita selama-lamanya membiarkan rakyat bergerak untuk kehidupann seharian mereka dengan hanya bergantung kepada pengangkutan air?
53 tahun. Bukan 53 bulan. Jangan hanya apabila mahu mendapat undi, mereka didekati. Apabila telah mendapat undi mereka ditinggalkan lagi dan lagi dan lagi.