nuffnang ads

Saturday, October 23, 2010

UCAPAN NAJIB TIDAK AKAN MENUKAR APA-APA PERSEPSI RAKYAT

KHUSUSNYA di kalangan penyokong parti pembangkang, mereka tidak akan goyah dengan intipati ucapan Najib pada perhimpunan Agung Umno semalam. Sekali pun Najib memberi penjelasan paling terang tentang kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, ucapannya itu tidak lebih daripada penerangan seorang arkitek yang mahu menerangkan secara teliti pelan atau kerangka rancangan membaiki rumah yang hampir runtuh.

Intipati ucapan Najib tidak mampu mengubah apa-apa, apatah lagi berupaya untuk membakar semangat berjuang di kalangan penyokong Umno untuk berdepan asakan semangat penyokong parti pembangkang yang mahukan perubahan.


Dalam keadaan ini, Najib hanya bertindak bak mempertahankan sebuah rumah yang hampir roboh dengan hanya bersenjatakan kata-kata mentera penuh retorik, berdepan kekuatan  pembangkang yang diumpamakan bagai taufan Super Megi.

Dengan berkali-kali memberi jaminan keistimewaan orang Melayu tidak akan terhakis walaupun pembangkang mempunyai kelebihan dua pertiga di dalam parlimen, perkara yang jelas tersirat di sebalik ucapan itu adalah tentang kebimbangan Perdana Menteri mengenai kekuatan Umno. Itu sahaja mesej sebenarnya yang mahu disampaikannya. Ini kerana kalau mahu dimaksudkan ucapan itu berjaya mempengaruhi atau memperdaya sokongan rakyat di atas pagar dan penyokong pembangkang, ia adalah bagaikan jauh panggang dari api. Ucapan Najib tentang nasib dan perancangan untuk bangsa Melayu pada masa depan hanyalah pujukan dan bukannya jaminan.

Benar seperti kata Datuk Mior Kamarul, pengarang kumpulan Berita Harian dalam tulisannya hari ini. Penyokong pembangkang sudah tidak akan peduli kerana mereka hanya mahukan kuasa. Maksudnya mereka hanya mahukan satu kuasa yang lebih besar yang boleh dijadikan cagaran untuk satu perubahan pada tampuk kepemimpinan negara - dari BN kepada PR. Namun tidak benar jika beliau mengatakan pembangkang akan menggunakan apa cara tanpa mengira dosa untuk mendapatkan kuasa. Barangkali sahabat lama saya itu terkhilaf kerana realitinya pembangkang pun masih terikat pada undang-undang kerajaan dan hukum-hakam agama.

Mustahil juga kata Mior dengan hanya mendengar satu ucapan dari PM, semua masalah akan selesai. Betul. Ucapan betapa manis retoriknya sekalipun tidak akan mengubah apa-apa dalam lanskap politik semasa tanah air. Pembangkang akan terus menyerang dan BN pula terpaksa bertahan. Ini satu kaedah kalau diukur dalam permainan bola sepak biasanya akan menyebabkan pihak bertahan akan kecundang. Paling tinggi pun pencapaiannya adalah mendapat keputusan seri yang nyata tidak akan memberi apa-apa makna lagi!

Perlu dijelaskan juga, pemimpin pembangkang daripada kalangan Melayu parti PAS dan PKR, tidak mungkin menggadai darah daging dan agamaya sehingga menjadi langsung tidak bermaruah hanya semata-mata kerana mahukan kuasa. Persoalan keistimewaan Melayu seperti dijelaskan Najib menjelaskan lagi kelebihan yang ada pada parti pembangkang yang dituduh cuba menggadaikan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Sudah tentulah hak dan keistimewaan orang Melayu tidak terjejas walaupun pembangkang memerintah kerana tanpa izin dan restu raja-raja Melayu, ia tidak boleh dilaksanakan. Itu pun kalau betul pemimpin pembangkang memang ada niat untuk menggadai hak-hak dan keistimewaan orang Melayu! Kita tidak fikir sedemikian bodohnya pemimpin Melayu pembangkang menggadai nyawa sendiri hanya untuk kepentingan yang terlalu singkat mendapatkan kuasa.

Berbalik kepada ucapan Najib. Nyata dan jelaslah Presiden Umno itu telah khuatir dengan masa depan atau jangka hayat Umno sebagai parti teras memerintah negara ini. Selepas 53 tahun memerintah, barulah ada sedikit kesedaran bahawa Umno sebenarnya gagal dalam perjuangannya membela bukan sahaja nasib orang Melayu, tetapi juga hal-hal lain berkait kepentingan negara dan hal yang bersangkut kepentingan bangsa lain.

Namun keadaan sebenarnya telah terlambat. Umno hanya mempunyai sedikit ruang dan masa yang jika digunakan mengikut rancangan mereka hanya akan menyebabkan parti itu bakal lesu dan terpinggir kehilangan gah dan takhtanya. Untuk memenangi hati majoriti rakyat, khususnya orang Melayu, Umno memerlukan satu pengorbanan - berundur secara berhemah, bermuhasabah dan kembali merebut kuasa selepas kalah dengan azam dan iltizam baru yang lebih ikhlas dan jujur.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10