Polis Indonesia memeriksa kenderaaan keluar masuk di sekitar tempat persembunyian pengganas. |
SERAMAI 14 pengganas yang disyaki, kini terkepung di suatu kawasan hutan di Simpang Brohol, Sumatera Utara. Ratusan polis Indonesia termasuk dari unit mencegah keganasan dikejarkan ke situ awal pagi tadi selepas mendapat maklumat kesemua pengganas dikehendaki itu dilihat menaiki 7 motosikal.
Pengganas terbabit yang kesemuanya bersenjata api dipercayai terbabit dalam banyak kes jenayah termasuk merompak bank kepentingan Malaysia CIMB Niaga di Medan dan serangan ke atas Markas Polis Hamparan Perak yang turut membunuh tiga anggota polis.
Beberapa jam selepas mendekati lokasi persembunyian pengganas, penduduk berdekatan mendengar bunyi beberapa tembakan dipercayai berlaku pertempuran di antara polis dan pengganas.
Ketua Polis Daerah Sumatera Utara, Oegrosono yang turut menyertai operasi khas itu, dipetk berkata pihaknya tidak akan membuka ruang kepada kesemua pengganas melepaskan diri. Katanya, operasi melibatkan pemeriksaan kenderaan di kawasan sekitar juga dipertingkatkan bagi mengelakkan pengganas terlepas.