SITI ROHAYAH, Azleena, Wan Halina dan Jaslina - ini adalah sebahagian nama jururawat yang menghantar mesej meluahkan sedih di atas pembunuhan Annie. Peliknya, semua tidak sempat mengenali Annie. Rata-rata mereka meluahkan hiba di atas cara Annie pergi.
Paling menyentap perasaan ialah kata-kata Wan Halina. "Apakah tiada lagi harga seorang wanita di hati seorang lelaki?"
Lama memahami luahan empat orang jururawat muda ini. Akhirnya saya tiba pada satu kesimpulan. Betapa esprit de corps sesama mereka yang bernama jururawat amat kental dan likat ikatannya!
Seperti juga tulis Jaslina. "....uniform yang dipakai Annie tentunya ada darah..tapi alangkah bermaknanya kalau darah itu darah pesakit yang dirawatnya dan bukan darah dirinya yang terkorban hanya kerana cinta gila seoang lelaki agaknya!"
Memang Annie hanya manusia biasa. Anak Kadazandusun yang tinggal di kaki bukit. Tapi kenapa Annie amat dikenang? Jawapannya kerana dia seorang jururawat! Maknanya, dari mana arah datang seseorang itu tidak penting, tetapi dirinya yang datang dalam keadaan mana, itu yang paling utama.
Kepada Jaslina, saya akan tuliskan sebuah puisi untuk Annie seperti dimahukan. InsyaAllah..mungkin saya emel atau saya catatkan di sini bila saya kelapangan.