nuffnang ads

Saturday, October 2, 2010

PULANGKAN WANG EHSAN: ADA SESIAPA MAHU MENDESAK PEKERJA KILANG CARLSBERG DAN GUINESS STOUT PULANGKAN GAJI?

ORANG Islam yang rasa kurang yakin di atas latar belakang wang ehsan yang diberi oleh kerajaan Pulau Pinang, wajarlah memulangkan semula wang itu. Dengar khabar, Lim Guan Eng memberitahu memang ada pemberian wang daripada syarikat judi, tapi katanya wang itu tidak diberikan kepada golongan Islam yang layak menerima wang ehsan. Kalau dia bercakap betul, betullah. Kalau tipu, susahlah dia nanti.


Dan mereka yang berteriak di sebalik beberapa majlis pemulangan wang ehsan ini nampaknya menggunakan Islam sebagai dalil untuk mengsahihkan tindakan mereka. Bagus jugalah kalau itu semua bermula daripada niat yang betul kerana Islam. Tidak kiralah Umno atau siapa pun.

Jelas mereka menyokong tindakan memulangkan wang itu dan jelaslah juga mereka mahu setiap duit yang diperolehi datangnya sumber yang bersih dan tidak meragukan. Maknanya mereka mahukan wang yang halal. Alhamdulillah.

Cuma kita tertanya juga, tidak terlintaskah mereka untuk melihat wang gaji pekerja orang Islam yang bekerja di kilang bir Carlsberg dan Guiness Stout. Kita rasa wang itu lebih jelas haramnya kerana terus berpunca daripada kerja bersubahat menghasilkan arak yang telah tentulah pula diharamkan Islam.

Persoalan lain pula ialah, mahukah pekerja Islam di kilang berkenaan memulangkan wang gaji mereka? Atau bersetujukah mereka bekerja secara percuma di kilang berkenaan?

Bagaimana pula cukai yang dikenakan oleh kerajaan terhadap premis perjudian berlesen di negara ini. Dengar khabar banyak juga cukai yang dikutip sehingga boleh menenggelamkan sebuah kampung kalau dikumpul lama-lama.

Adakah wang itu hanya digunakan untuk perkara-perkara yang tidak melibatkan orang Islam? Kalau betul baguslah. Lagi cantik kalau ada rekod bertulis diedarkan kepada umat Islam di negara ini tentang perbelanjaan dan cara guna wang hasil kutipan cukai perjudian itu.

Moral di sini ialah, kalau kita mahu bercerita tentang nilai-nilai Islam, biarlah kita lakukannya secara menyeluruh. Agak kurang cantik kalau sesuatu itu kita sentuh tentang Islamnya macam menconteng warna di tembok. Di sana setompok, di sini setompok. Di sana tompoknya hitam. Di sini tompoknya putih.

Kesan daripada tindakan kita nanti hanyalah sesuatu yang hanya mengelirukan. Lebih mengelirukan kalau-kalau yang berteriak di sebalik tindakan seperti pemulangan wang ehsan itu adalah orang-orang politik. Sebab orang-orang politik mana ada bersih ma?

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10