Tragedi orang makan orang mungkin berlaku di bawah lombong arang batu ini, jika mereka gagal diselamatkan selepas terperangkap lebih sebulan. |
KISAH 33 pekerja lombong arang batu yang terperangkap 700 meter di dalam perut bumi selama sebulan di Chile, amat tragis dan menyeramkan, terutama apabila ada di antara pelombong yang berjaya diselamatkan tiga hari lalu, sering terfikir tentang hidup cara kanibalisme dengan memakan daging kawan demi meneruskan kehidupan.
Kisah itu diceritakan oleh Richard Villaroel, 27, antara mangsa terperangkap kepada akhbar The Guardian selepas sebahagian besar mereka mulai terfikirkan tentang kematian dan kelangsungan hidup.
Menurut Villaroel, mereka mulai terfikir tentang cara meneruskan kehidupan selepas kehabisan makanan. Katanya, teringatkan sanak saudara dan anak yang bakal lahir, dia sendiri seperti tidak nampak cara lain untuk terus hidup jika gagal diselamatkan.
"Terfikir saat itu menjalani kehidupan kanibalisme iaitu akan ada di antara rakan menjadi mangsa untuk dijadikan makanan," katanya.
Seorang lagi mangsa terperangkap dalam lombong arang batu itu, Johny Barrios, 50, juga tidak menolak kemungkinan itu kerana masing-masing mulai tidak selesa berada di dalam keaadan panas, lembab dan semakin kehabisan makanan.
"Kami hanya bergantung kepada sisa-sisa makanan yang ada, termasuk ikan tuna. Kami bahagikan sesudu seorang untuk terus hidup," katanya.
Bagaimanapun, tragedi kanibalisme di bawah kolong lombong yang dalam itu akhirnya terhindar apabila kesemua mangsa berjaya diselamatkan pihak berkuasa Chile dalam satu operasi penuh debar dan mendapat perhatian seluruh dunia.
Sebahagian mangsa kini dikatakan terpaksa berpindah meninggalkan kawasan lombong itu seberapa jauh yang mungkin bagi mengelakkan trauma yang mereka anggap sebagai satu pengalaman mati dihidupkan semula.