SEORANG bomoh di Gemenceh, Negeri Sembilan yang dikatakan ada berbuat tidak senonoh terhadap seorang pesakit perempuan sebelum ini, bertemu buku dan ruas semalam, apabila dibelasah, dilarikan dan ditinggalkan di tepi jalan di sekitar Tangkak dalam keadaan hanya berseluar dalam.
Kumpulan yang datang membalas dendam itu, dipercayai hilang sabar dengan sikap dan perangai bomoh berkenaan. Selain dikatakan enggan berunding secara baik, bomoh itu juga dikatakan meninggikan suara serta memarahi kumpulan yang datang ke rumahnya sebelum ini.
Ekoran itu tercetus pertengkaran sebelum bertukar pergaduhan dan kemuncak hilang sabar kumpulan yang datang ke rumahnya itu, dia kemudian dikatakan dilarikan secara paksa oleh beberapa lelaki menggunakan sebuah kenderaan.
Kejadian itu bagaimanapun disedari jiran bomoh berkenaan apabila terdengar orang bergaduh di rumah bomoh itu lalu bertindak menghubungi polis, tetapi sebaik sahaja polis tiba rumah bomoh terbabit telah kosong.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata polis kemudian meneriam laporan daripada balai polis Tangkak di Johor yang memaklumkan lelaki itu ditemui di tepi jalan dalam keadaan separuh bogel selepas dilarikan.
Polis kini sedang menyiasat kejadian itu.