SEORANG pegawai kanan Persatuan Lumba Kuda Malaysia (MRA) diserang beberapa lelaki bertopeng dan berparang dalam satu kejadian berhampiran sebuah lampu isyarat di Jalan Kampar, Ipoh kira-kira jam 7 pagi semalam.
Errol Lang, 57, warga Afrika Selatan, ketika itu memberhentikan keretanya apabila dua buah kereta lain menghalang di depan dan belakang keretanya. Beberapa lelaki bertopeng dan berparang kemudian bertindak memecahkan cermin keretanya.
Bagaimanapun, Errol bertindak melanggar seorang daripada penyerang sebelum merempuh kereta di depan dalam usahanya melarikan diri. Ini adalah kejadian kedua menimpa beliau, selepas tidak lama dulu diserang berhampiran kediamannya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias, mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang menjalankan siasatan.
Serangan mencederakan pegawai kanan MRA bukan asing. Pada April tahun lalu, seorang pegawai kanan kelab itu, Soo Lai Kwok, diserang 8 lelaki bersenjatakan parang di luar sebuah restoran di Bukit Tambun di Pulau Pinang.
Dan empat bulan lalu, bos Lai Kwok, David McGillivray, turut diserang di sebuah restoran di Ipoh dan dia hampir kehilangan tangannya apabila diserang dan ditetak oleh beberapa penyerang yang bersenjatakan parang.
PS: MASALAH JUGA HAL-HAL BERKAITAN KUDA INI. LAINLAH KUDA KAYU DAN KUDA KEPANG...