MERAIKAN 20 TAHUN HARIAN METRO
(Ini adalah catatan paling bermakna ketika saya dan rakan saya menyertai operasi mencari gadis 13 tahun yang lari dari rumah dan hampir dilacurkan)
SAYA dan sahabat setugas, Rasid Rahaman (kini pengarang berita Berita Minggu) terus merancang sebaik sahaja menerima maklumat daripada sahabat baiknya (Rasid). Adik ipar sahabat baik Rasid itu dikatakan hilang/lari dari rumah di Johor dan dipercayai telah sampai di Kuala Lumpur.
Ketika itu S (nama singkatan) hanya berusia 13 tahun. Dia pelajar pintar, tak pernah dapat nombor dua atau nombor yang lebih dari itu dalam kelasnya, kecuali nombor satu!
Tindakan pertama kami selepas mendapat penjelasan tentang kehilangan itu ialah membawa abang ipar S dan kakaknya membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. Ini tindakan yang memang kami akan lakukan, apabila berlaku kejadian hilang melibatkan remaja bawah umur terutama perempuan, setiap kali kes itu dilaporkan di Balai Berita, tempat kami bertugas ketika itu. Kami berterus terang dengan Ketua Polis Daerah (OCPD), Superintendan Wan Mohamad. (Kakitangan awam IPD ketika itu menggelarkan Wan Mohamad sebagai abang handsome kerana memang dia kacak. Dia bekas ADC Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam)
Selepas membuat laporan dan memberi keterangan lebih lanjut tentang S yang melarikan diri mengikut kawannya ke Kuala Lumpur di tingkat bawah, kami naik semula ke pejabat OCPD. Saya lihat wajah Wan Mohamad terpancar simpati. Seorang remaja perempuan 13 tahun yang pintar hilang di tengah Kuala Lumpur, kota yang tak pernah dijejakinya sebelum itu. Ada riak risau dan ingin membantu di wajah OCPD ketika itu.
Wan Mohamad kemudian bertanya. Apakah yang saya dan Rasid boleh bantu dalam kes ini? Selain polis, katanya sebagai wartawan kami juga harus ada tanggungjawab dan mesti membantu katanya. Saya pandang Rasid, Rasid pandang saya.
"Kami akan bantu cari sampai dapat!" akhirnya saya jawab. Wan Mohamad mulanya seperti tidak percaya. Lalu dia berlawak berkata, bila boleh jumpa S yang hilang.
Dengan selamba saya katakan, kalau polis sedia membantu kami termasuk abang ipar dan kakak S akan mencari dalam tempoh 48 jam sampai dapat. Mungkin melihat kesungguhan kami, selepas mendapat keterangan lebih lanjut tentang kehilangan S, Wan Mohamad bermurah hati memanggil seorang pegawai berpangkat Inspektor. Namanya Norazman. Kata Wan Mohamad, pergi mulakan tindakan cari sekarang juga! Dan bersama lebih kurang enam anggota lain, kami bergerak dalam beberapa buah kereta, merayap di seluruh kawasan ibu kota.
Pergerakan mencari S yang telah hilang lebih seminggu, ketika itu pada awalnya banyak berpandukan naluri semata-mata. Sedikit dibekalkan maklumat berguna! Tempat pertama kami tuju ialah kompleks beli belah Semua House. Rupanya Allah memang mahu membantu pasukan polis. Di situ, seorang detektif yang ikut serta mengenali seorang lelaki remaja dipercayai 'kaki perempuan'. Remaja itu bekerja sebagai pembantu jualan dan dia dikatakan memang gemar mencari 'mangsa' di kalangan remaja yang lari rumah dan baru tiba di Kuala Lumpur.
Inspektor Norazman mengarahkan anggotanya itu memasang perangkap. Kami berbincang seketika untuk mencari 'umpan'. Lalu kakak S yang ikut serta bersama suaminya ketika itu dijadikan 'umpan', apatah lagi kakaknya itu baru sahaja berusia awal 20-an. Cara umpan dipasang ialah dengan menyuruh kakak S menyamar sebagai gadis lari rumah dan cuba buat-buat bodoh mendekati remaja lelaki yang bekerja sebagai pembantu jualan itu. Polis bagaimanapun, telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan!
Tak sampai 5 minit mendekati remaja lelaki itu, kami lihat dia (remaja lelaki) menyerahkan satu topi keledar kepada kakak S dengan tujuan untuk mengikutnya membonceng motosikal. Kami tahu, remaja lelaki itu tentunya seronok sangat kerana mendapat umpan yang datang begitu senang! Sebaik sahaja dia mahu menghidupkan enjin untuk membawa kakak S ke tempat yang tidak kami ketahui, anggota polis terus menangkap remaja lelaki itu.
Slow talk pun bermula. Dia dibawa ke belakang bangunan kedai dan pelbagai soalan pun ditanya. Mungkin kerana takut akhirnya terbongkarlah klu yang amat kami kehendaki.
Selepas ditunjukkan gambar S yang hilang, remaja yang dalam ketakutan itu entah kerana apa tiba-tiba memberitahu memang dia pernah melihat S sehari sebelumnya bersama beberapa remaja perempuan lain yang kesemuanya lari dari rumah masing-masing. Dia beritahu S mungkin ada bersama seorang lelaki berusia 30-an di sebuah rumah di Jalan Pekeliling.
Polis tidak menunggu lama. Dibawa sekali remaja lelaki itu, kami naik ke sebuah rumah pangsa dan tiba di rumah yang dimaksudkan remaja lelaki itu kami mengetuk pintunya berkali-kali. Tiada orang! tapi dari lubang tingkap beberapa detektif mengesan ada beberapa baju perempuan tergantung di dinding, sebahagiannya bertaburan di sofa. Maknahya rumah itu memang didiami, hanya ketika itu barangkali penghuninya ke luar.
Sekali lagi remaja lelaki itu didesak. Dia ditanya siapa sebenarnya pemilik rumah itu. Alangkah terkejutnya pasukan polis apabila dia memberitahu itu rumah seorang anggota polis yang bertugas di IPD Dang Wangi. Dia tinggal sendirian, kerana isterinya bertugas di negeri lain. Dalam hati mula berperang pelbagai perasaan. Benarkah seorang anggota polis boleh membela anak-anak bawah umur perempuan yang lari rumah tinggal di rumahnya?
Inspektor Norazman mengarahkan anggotanya pergi ke IPD Dang wangi mencari anggota yang disebut namanya oleh remaja lelaki itu. Alangkah terkejutnya saya dan Rasid kerana ketika dipanggil Inspektor Norazman, anggota polis yang dimaksudkan itu memang kami kenal dan kenal baik sebelum ini. Namun kami tidak mahu mencampuri tugas polis. Kami biarkan Inspektor Norazman menguruskan apa yang patut ketika itu.
Ketika itu hari telah lewat petang. Menurut Inspektor Norazman dia baru menerima panggilan daripada OCPD bertanyakan perkembangan operasi mencari S itu. Saya, Rasid dan kakak serta abang ipar S amat bersyukur kerana menurut Norazman, OCPD mengarahkan gerakan itu diteruskan dan memberi tempoh sehingga jam 10 malam.
Entah maklumat apa yang diperolehi daripada anggota polis itu, Inspektor Norazman mengarahkan semua anggotanya dan kami yang dibenarkan mengekori kenderaan mereka, pergi ke sekitar hotel murah di Chow Kit. Mulanya Inspektor Norazman tidak mahu bercerita apa-apa, tetapi selepas didesak oleh kakak S beberapa kali, dia pun tersenyum. Katanya, maklumat baru diperolehi dari anggota polis yang ditemuinya sebelum itu percaya, S mungkin bersama lebih kurang empat atau lima gadis bawah umur yang hilang dari rumah dari beberapa negeri sedang menginap dengan seorang ibu ayam di hotel murah.
Maka bermulalah operasi yang amat memenatkan. Kasihan dan simpati pada semua anggota polis yang menyertai operasi itu kerana mereka terpaksa meredah dari satu hotel ke satu hotel membuat pemeriksaan. Akhirnya kira-kira jam 8 malam.....bersambung