![]() |
| Sembilan jin yang mengganggu Siti Balqis akhirnya berjaya ditangkap |
DUA bomoh yang datang menawarkan khidmat percuma akhirnya berjaya menangkap sembilan jin dan makhluk halus yang selama ini mengganggu Siti Balqis Mohd Noor, 27, dalam satu 'operasi' luar biasa dan menakjubkan malam tadi, di rumahnya di Terengganu.
Kejayaan dua bomoh yang menjalankan sesi rawatan secara luar biasa itu, dengan seorang mengerjakan solat di dalam rumah manakala seorang lagi menunggu di luar dengan bacaan jampi, kemudian memasukkan kesemua jin berkenaan ke dalam bekas khas.
Usaha selama 15 minit itu mendapat perhatian ratusan penduduk, termasuk juga Adun Jambi, Ramlan Ali dan isterinya.
Ketika salah seorang bomoh berkenaan bersolat, seorang lagi bomoh di luar terlihat satu bayang atau kelibat jin lalu mengejar dan menangkapnya. Kemudian, satu persatu jin yang lain, ditangkap dan masing-masing dimasukkan ke dalam bekas khas.
Orang ramai tidak melepaskan peluang merakamkan gambar dalam bekas khas itu selepas mendengar khabar kedua-dua bomoh berkenaan berjaya melaksanakan operasi menangani gangguan jin yang sering menimpa Siti Balqis selama ini.
Wakil Berita Harian/Harian Metro yang cuba mendapatkan pandangan bomoh berkenaan bagaimanapun gagal, kerana kedua-duanya mengelak daripada ditemubual atas alasan tidak mahu diri mereka dikenali.
Siti Balqis sebelum ini sering diganggu dengan kejadian aneh, termasuk sering ghaib ketika senja atau tengah malam. Pernah dia dijumpai di atas pokok, di atas tanah perkuburan dan di dalam mesin pembancuh simen. Malah tiga hari lalu, seorang bomoh turut tewas apabila tidak dapat bertentang mata dengan Siti Balqis lalu meminta diri pulang.
