LIMA daripada lapan pelajar yang dikejarkan ke hospital terpaksa ditahan di wad apabila mereka disyaki terhidu gas beracun sejenis kimia yang dikeluarkan oleh sebuah kilang, tidak jauh dari Sekolah Menengah Guar Chempedak, Yan Kedah, pagi semalam.
Ketika itu kesemua pelajar tingkatan tiga sedang berhimpun, apabila seorang daripadanya Nurul Azwarina Mohd Khorazi, 15, mengadu pening dan sesak nafas. Dia kemudian bertanyakan kepada rakan-rakannya yang lain dan mereka juga mengakui berdepan keadaan yang sama.
Berikutan itu, pihak sekolah menghantar lapan pelajar yang sesak nafas ke sebuah klinik berdekatan sebelum diarahkan pergi mendapat rawatan lanjut di Hospital Yan.
Lima daripada lapan pelajar berkenaan, ditahan di wad manakala tiga yang lain termasuk seorang pekerja lelaki dibenarkan pulang.
Jurucakap hospital berkata pihaknya akan merujuk kes itu kepada Jabatan Alam Sekitar untuk diambil tindakan.