SEORANG lelaki berusia 21 tahun ditahan polis di Ladang Rubana, Teluk Intan, Perak kerana dipercayai terbabit merogol dan membunuh seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun, di ladang berkenaan Sabtu lalu.
Dia ditahan tidak jauh dari tempat kejadian dan ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang, berkata lelaki yang bekerja sebagai pekerja ladang di estet berkenaan ditahan jam kira-kira 11.30 malam tadi selepas mendapat maklumat. Perintah tahanan reman diperolehi hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mayat seorang pelajar Sekolah Menengah Horley Methodist, Divya Barahthi Murali, 16, ditemui dalam keadaan terbaring dan bogel di ladang Rubana oleh orang ramai kira-kira jam 7.30 pagi. Uniform dan beg sekolahnya ditemui kira-kira 10 meter daripada mayatnya ditemui.
Barathi dilaporkan pergi ke sekolahnya pada pagi Jumaat tetapi tidak pulang selepas itu. Keluarganya membuat laporan polis pada sebelah malam.