IA bukan baru. Walaupun sering didebat dan diperbincangkan khususnya di dalam bilik atau kerusi akademik, laporan penyiasatan dan penyamaran dalam mendapatkan maklumat tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan dalam dunia kewartawanan. Selagi kaedah itu dilakukan secara beretika dan dilaksanakan mengikut proses mendukung pengucapan bebas dan bertanggungjawab tiada pihak sepatutnya mempertikaikan kaedah penyiasatan dan penyamaran yang dilakukan oleh segelintir wartawan.
Dunia kewartawanan hari ini bukan lagi bergantung kepada kenyataan akhbar yang dikirimkan oleh agensi kerajaan atau pihak yang memerlukan kerjasama menyiarkan maklumat tertentu. Hari ini dunia kewartawanan semakin kompleks dan demi berupaya seiring dengan kompleksiti yang berlaku dalam mendapat dan menyalurkan maklumat, wartawan wajar menggunakan kaedah yang difikirkan sesuai, selagi ia tidak melanggar undang-undang dan maklumat yang diperolehi itu tulen dan benar.
Dalam dunia hari ini, tugas menyiasat dan menyamar bukan milik hakiki atau satu entiti yang eksklusif milik pihak tertentu seperti penguatkuasa undang-undang semata-mata. Wartawan sebagai golongan profesional juga mempunyai hak melakukan kaedah menyiasat dan menyamar kerana ada niat dalam tugasnya untuk mendapatkan kebenaran.
Allahyarham Tan Sri Samad Ismail, tokoh wartawan negara, pernah memberitahu saya bukan sekali atau dua kali tentang pandangannya mengenai kaedah penyiasatan dan penyamaran ini dalam dunia kewartawanan sejagat. Katanya, ada wartawan di luar negara, menghabiskan masa berbulan-bulan menyiasat dan menyamar untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara yang memberi manfaat kepada pihak awam. Malah wartawan ini kadang kala tidak berapa diingati atau dikenali oleh wartawan lain dalam syarikat yang sama, disebabkan waktunya di luar terlalu panjang berbanding di dalam pejabat.
Katanya lagi, bukan satu kesalahan bagi seorang wartawan mendapatkan maklumat berguna untuk rakyat, jika terpaksa menyiasat dan menyamar. Dalam hal ini, tokoh wartawan itu berkata, wartawan mesti memilih antara hak rakyat untuk mendapat maklumat benar dan menyeluruh atau untuk mematuhi kehendak golongan tertentu yang berusaha menyekat maklumat itu menggunakan pelbagai strategi dan polisi.
Sudah tentu, tugas seorang wartawan bukan untuk melaporkan apa yang orang kata semata-mata. Maknanya wartawan tidak semestinya bergantung hanya kepada maklumat daripada mulut orang, tetapi mesti juga menyelidiki sesuatu maklumat yang sengaja atau tidak sengaja disembunyikan. Apatah lagi maklumat itu perlu diketahui orang ramai.
Kes wartawan The Malaysian Insider yang dikecam dan diperlekeh oleh golongan tertentu, termasuk dari kalangan rakan setugas kerana menggunakan sebahagian daripada kaedah menyiasat dan menyamar ini sepatutnya tidak berlaku, jika semua pihak faham makna profesionalisme kewartawanan itu sendiri.
Perlu diingatkan bahawa hak orang ramai adalah untuk mendapat maklumat sebanyak mungkin. Hak ini tidak boleh dipinggirkan selagi, maklumat yang berjaya diperolehi itu tidak menjejaskan keselamatan atau mudarat mengikut undang-undang sesebuah negara. Dan maklumat yang disiarkan itu sahih dan tulen.
Mengancam atau mengugut golongan wartawan yang menggunakan kaedah menyiasat dan menyamar dalam tugas mereka memperolehi maklumat adalah satu ganggu gugat terhadap profesyen kewartawanan yang seharusnya bebas seperti pasukan Palang Merah di seluruh dunia.
Dingatkan lagi, Allahyarham pak Samad pernah memberitahu bahawa golongan wartawan juga menjadi sebahagian daripada penyiasat bagi pihak kerajaan dan negara, terutama ketika maklumat tertentu terlalu sukar digali daripada kubu persembunyiannya. Dan itu juga pernah dilakukan Pak Samad satu ketika dulu, apabila menghantar seorang wartawan dengan menyamar dan diberikan pangkat Leftenan untuk mendapatkan senjata ketika berlaku perang melibatkan Belanda dan Inggeris di Indonesia dan Singapura sebelum zaman Malaysia masih belum merdeka!
Kepada golongan wartawan, gunakan terus kaedah penyiasatan dan penyamaran ini sebagai satu cara anda memikul tanggungjawab sebagai pelapor maklumat yang profesional. Kepada golongan politik pula, anda seharusnya membuka jendela secara luas untuk memahami dan mengiktiraf tanggungjawab dan peranan seorang wartawan!