JIN tangan berbulu lebat dipercayai 'buruk siku' apabila mencuri semula 14 batu dipercayai permata dan zamrud dari rumah Siti Balqis, gadis yang sering mereka ganggu selama ini. Selepas empat hari disimpan di dalam bekas mengandungi air zam-zam, batu berharga itu tiba-tiba hilang pagi semalam!
Lebih mengejutkan 14 batu berkenaan hilang walaupun dijaga oleh anak saudaranya, Mohd Zainudin Mohamad, 42, manakala sekeliling rumah mereka dikawal anggota polis peronda dan penduduk setempat yang simpati.
Menurut ibu gadis berkenaan, Norizan said, 47, sebiji batu lagi yang pernah gugur dari atas rumah mereka sebelum ini diberikan kepada penasihat agama program Alam Ghaib TV3, Sharhan Shafie untuk dianalisis.
Bagaimanapun, batu itu tidak hilang walaupun Sharhan mengakui ada jin tangan berbulu lebat cuba mengambilnya daripada tempat ia disimpan pada malam yang sama. Sharhan mengakui kejadian itu dan tidak terkejut dengan kehilangan batu di rumah Siti Balqis.
Batu yang disimpan di kediamannya pula tidak hilang berkemungkinan besar kerana jin berkenaan gagal mencurinya selepas tempat itu dipagar dengan ayat-ayat suci.
Sementara itu, Norizan berkata pelbagai kejadian aneh ini menyebabkan mereka sekeluarga kehairanan, terutama dengan kehilangan batu berharga itu. Ini kerana bilik tempat ia disimpan telah dikunci dan dikawal ramai orang.
Perbuatan jin yang terus mengganggu Siti Balqis ini dikatakan memeningkan kepala pelbagai pihak, kerana selepas beberapa hari dirawat Siti tidak lagi dighaibkan, sebaliknya gangguan datang dengan cara yang lain pula.