KAKI pukau @ yang bijak membuat orang terpukau sering menjadikan wanita latah sebagai sasaran untuk mereka mendapat pulangan lumayan, terutama di kawasan sesak seperti perhentian bas dan lapangan terbang. Apatah lagi menjelang hari raya yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Oleh itu, wanita terutama yang suis latahnya beroperasi secara automatik walaupun hanya terpandang ekzos bas mengeluarkan asap hitam, perlu berhati-hati.
Jangan terlalu yakin orang tidak tahu yang anda latah. Golongan kaki pukau yang biasanya menjalankan kerja mencari duit sempena hari perayaan ini ada cara untuk mendiagnosis penyakit anda itu! Banyak cara yang akan mereka lakukan.
Salah satu cara paling popular untuk mengenalpasti sama ada wanita itu latah dan boleh menjadi mangsa mereka ialah dengan mencampakkan DUIT SYILING ketika anda sedang berjalan. Anda tidak akan tahu siapa yang membalingnya, tapi awas ketika anda melatah kerana syiling itu hampir terkena anda, anda sebenarnya sedang diperhatikan si kaki pukau.
Apabila mereka telah mengenalpasti mangsa, anda akan dihampiri secara budiman oleh orang tertentu, termasuk memuji, atau menuturkan kata simpati sambil bertanyakan apa yang boleh dia bantu. Dan di situlah selalu bermulanya pukau sehingga anda boleh kehilangan dan kerugian harta benda dan wang! Jadi cara paling baik adalah berjalan dengan kawan yang anda kenali ketika di tempat sesak. Sebelum itu selalu-selalulah bercerita dengan kawan itu tentang taktik baling duit syiling ini untuk memukau. Bila anda cuba dihampiri orang tidak dikenali jangan layan dan ketika dia merenung ke dalam mata anda, bacalah bismilllah lalu meneguk air liur. InsyaAllah, dilindungi kita jika diizinkan Allah.