APABILA polis turut memeriksa sebuah restoran, timbul andaian yang tidak dapat disahkan. Kemungkinan empat mangsa bunuh dan bakar dalam tragedi di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, diberi makanan mengkhayalkan bagi memudahkan mereka dibelasah oleh kumpulan penjenayah yang didalangi oleh seorang peguam bergelar Datuk?
Apabila kereta Datuk Soosilawati dan Ahmad Kamil ditemui di Subang Jaya, timbul juga andaian lain, iaitu kedua-dua kereta berkenaan berkemungkinan dipandu dan dihantar oleh penjenayah selepas kesemua mangsa diperdaya untuk datang ke ladang Gadong, Tanjung Sepat. Ini mungkin bertujuan mengelakkan kehadiran kereta berkenaan dilihat dan dicurigai oleh orang lain jika diparkir berdekatan tempat pembunuhan. Selain itu, kesukaran memusnahkan kereta berkenaan menyebabkan ia dihantar ke kawasan Subang Jaya. Pada masa yang sama, ia bertujuan mengelirukan pihak berkuasa kononnya mangsa berada tidak jauh daripada tempat kereta mereka diletakkan.
Kemungkinan lain dalam tragedi itu ialah kesemua telefon bimbit mangsa dirampas terlebih dahulu. Tarikh telefon itu dirampas adalah permulaan mereka berdepan kesengsaraan. Maknanya, telefon itu mungkin dirampas mulai malam 30 Ogos atau 31 Ogos, iaitu tarikh kesemua mangsa tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga masing-masing. Pembunuhan dipercayai berlaku tidak lama selepas telefon mereka dirampas! Apa pun polis lebih mengetahui.
Semoga Datuk Mohd Fauzi Harun Pengarah Pasukan :Petugas Khas Bukit Aman, dan pegawai-pegawainya dapat menemui semua bukti jelas supaya dalang/peguam itu turut didakwa mengikut Akta Penggubahan Wang Haram kerana memiliki wang/harta yang bertimbun dan tak masuk dek akal.