TIGA tahanan lokap sebuah balai polis di Kuching, berjaya melarikan diri kira-kira jam 1.40 siang tadi. Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya ditahan semula lewat petang ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kok Keong, berkata kedua-dua yang ditahan semula itu diberkas di pekan Bintawa. Mereka adalah pendatang tanpa izin dari Thailand yang berusia 18 dan 38 tahun, ditahan kerana terbabit dalam kes mencuri motosikal.
Polis sedang giat menjalankan gerakan memburu seorang lagi tahanan yang masih bebas, lelaki berusia 28 tahun yang ditahan mengikut Ordinan Darurat 1969.
Dalam kejadian itu, terdapat empat tahanan di dalam lokap. Bagaimanapun, seorang daripada mereka enggan mengikut jejak tiga yang lain meloloskan diri.