SETAKAT ini tiada permohonan pembelian tanah didaftarkan atas nama Datuk Soosilawati Lawiya di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat, bagi menguatkan dakwaan bahawa ahli perniagaan kosmetik itu kononnya ke Banting, untuk menyelesaikan urusan pembelian tanah bagi ladang herbanya di daerah itu.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Datuk Asmawi Kasbi, berkata setakat ini pihaknya tidak ada menerima sebarang permohonan membabitkan nama ahli perniagaan itu. Soosilawati dilaporkan hilang bersama tiga lelaki lain sejak 30 Ogos lalu ketika dikatakan mahu berurusan mengenai jual beli tanah di Banting.
Mengikut prosedur, setiap dokumen mengenai jual beli tanah yang telah lengkap di antara pembeli dan penjual mesti dihantar ke Pejabat Daerah dan Tanah atau Pejabat Pendaftaran Geran Malaysia.
Bagaimanapun, katanya perkara paling penting yang mesti dilakukan oleh mana-mana pembeli ialah menyemak status tanah yang ingin dibeli sama ada tercatat kepentingan memerlukan seseorang itu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri terlebih dulu.
Asmawi ditanya mengulas desas-desus kononnya Soosilawati ke Banting bersama pemandu, peguam dan penasihat kewangannya untuk bertemu seorang lagi peguam bagi menguruskan pembelian tanah untuk dijadikan ladang herbanya di Banting.