"Kau nak bawa aku pergi mana?" demikian antara kata-kata yang didengar oleh suami Datuk Soosilawati Lawiya ketika dia sedang bercakap dengan isterinya menerusi telefon, sebelum ahli perniagaan itu tidak dapat dihubungi lagi.
Demikian maklumat diperolehi Mohd Jamilul Anbia dari Harian Metro dalam laporan terbarunya mengenai susulan kehilangan Soosilawati yang masuk hari kesembilan, bersama tiga lagi lelaki, pemandu, peguam dan pegawai kewangan sejak 30 Ogos lalu.
Malah sumber-sumber juga memberitahu Mohd Jamilul, Soosilawati ada menghantar SMS kepada anaknya memaklumkan gambarnya diambil secara diam-diam tanpa diketahui motifnya.
Selain itu, Jamilul juga berjaya mendapatkan maklumat sumber tentang pesanan Soosilawati keada anaknya supaya jangan membenarkan seorang kenalannya masuk ke rumah mereka di Gombak, sewaktu dia dilaporkan tidak pulang.
Kini timbul persoalan jika benar, siapa yang dimaksudkan oleh Soosilawati? Siapakah yang cuba membawanya pergi dan siapakah yang mengambil gambarnya secara diam-diam? Dan siapakah kenalan yang tidak dia benarkan datang ke rumahnya di Gombak itu?
Menerusi maklumat sumber, difahamkan juga Soosilawati menghubungi suaminya, seorang warga Indonesia bertujuan meminta bantuan.
Soosilawati dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu bersama pemandu, peguam dan penasihat kewangan. Polis pula percaya mereka telah mempunyai maklumat penting mengenai kes itu dan yakin ia dapat diselesaikan tidak lama lagi.
Apakah ini ada kaitan dengan jenayah? Pertelingkahan peribadi? Pertelingkahan perniagaan? Ugutan seksual? Atau sabotaj rakan yang menggunakan ilmu hitam bagi kepentingan tersendiri?
Kita doakan supaya polis dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan membawa pulang Soosilawati dan tiga yang lain pulang dengan selamat. Allah akan membantu kes ini dirungkai dalam tempoh terdekat. InsyaAllah.