PEGUAM, suspek utama kes pembunuhan Sosilawati ada tujuh aduan berhubung jenayah komersil dipercayai dilakukan membabitkan kebanyakan pelanggannya sejak 2005.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata jumlah itu berdasarkan semakan semula kes di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat sehingga kini.
Beliau menolak andaian konon semua kes itu yang dikatakan membabitkan lebih RM7 juta itu telah ditutup, sebaliknya polis kekurangan bukti dan maklumat. Bagaimanapun, berdasarkan petunjuk baru, kes itu akan disiasat termasuk kes kehilangan seorang gadis 19 tahun dan kehilangan ahli perniagaan lelaki, kedua-duanya warga India.
Dalam kebanyakan kes, peguam berkenaan dipercayai menghubungi pekerja atau kumpulan samseng yang mengenalinya untuk mengatur rancangan. Mangsa kemudian akan dibawa ke ladang yang tersembunyi.sebelum dibunuh.
Bagaimanapun, dalam sesetengah kes dipercayai mangsa dibunuh menggunakan khidmat ahli kongsi gelap, seperti berlaku kepada isteri seorang pemilik bengkel kenderaan yang pernah bekerjasama dalam perniagaan memberi pinjaman wang.