ORANG RAMAI yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ada pegawai dan anggota polis di daerah Kuala Langat 'dibeli' oleh suspek pembunuhan Datuk Sosilawati, diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk menyalurkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kemungkinan peguam durjana itu membeli polis bagi melindungi kegiatan jenayahnya tidak boleh ditolak sama sekali, berdasarkan kecenderungannya memanipulasi dan mempergunakan banyak pihak selama ini demi melindungi kegiatan jenayahnya, terutama membabitkan penipuan dan pembunuhan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, dipetik amat positif apabila ditanyakan soalan ada kemungkinan segelintir polis di daerah Kuala Langat telah dibeli oleh peguam berkenaan.
Sambil menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penyelewengan kuasa, beliau meminta orang ramai yang ada maklumat mengenainya membuat aduan rasmi supaya tindakan keras mudah diambil ke atas mereka yang terlibat.
Kecurigaan masyarakat tidak boleh dipandang negatif oleh pasukan polis, apatah lagi dilaporkan setakat ini masih ada tujuh kes dipercayai membabitkan peguam berkenaan dalam kes jenayah komersil membabitkan beliau dengan beberapa mangsa bernilai lebih RM7 juta.
Malah dengan terbongkarnya kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga yang lain dipercayai dilakukan oleh peguam berkenaan, semua pihak mesti melihat setiap kemungkinan itu sebagai sesuatu yang positif.