KISAH KEBAIKAN Datuk Sosilawati dengan pelbagai pihak sentiasa terdengar, begitu juga halnya bagi Raja Pop negara, Jamal Abdillah. Jutawan Ratu Kosmetik itu bagi Jamal adalah seorang kawan baik yang telah begitu banyak membantunya.
Menurut Jamal, ratu kosmetik itu telah banyak membantu menaikkan namanya dalam industri muzik termasuk juga ketika dia bercadang untuk menghasilkan sendiri produk kesihatan baru-baru ini.
"Dia telah banyak membantu saya memberikan idea dan menyediakan pelbagai bantuan dalam proses penghasilan produk kesihatan jenama saya yang dijangka akan dilancar mulai Mei tahun depan," kata Jamal kepada NST.
Menurut Jamal lagi, kali terakhir dia menemui Sosilawati ialah pada majlis hari jadi anak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana ke 25 tahun pada Julai lalu.
Selain menghormati Sosilawati yang dianggapnya mudah didekati, mesra dan tidak sombong, Jamal juga mendedahkan bahawa ratu kosmetik itu juga pernah menaja RM25,000 kepadanya bagi menjayakan konsert "Jamal Kembara Seniman" di Istana Budaya, 8 September lalu.
Namun semua itu kini hanyalah kenangan yang memilukan bagi Jamal, selepas insan yang pernah membantunya itu pergi untuk selama-lamanya selepas menjadi mangsa pembunuhan kejam didalangi suspek bergelar peguam bersama tiga yang lain.