SISTEM MISIL PESAWAT SHUKOI SU-30 BOLEH DIKUNCI NEGARA JIRAN?
Pertanyaan ini bermain dalam kepala pegawai tinggi tentera udara Indonesia. Ia bermula pada satu kejadian 20 Februari lalu, apabila dua pesawat tempur SUKHOI SU-30 yang baru tiba dan antara pesawat tercanggih keluaran Rusia dalam penerbangan latihan memintas di ruang udara Sulawesi Selatan.
Tiba-tiba ketika dalam penerbangan latihan itu, lampu amaran kedua-dua pesawat tempur itu berbunyi. Dua jurulatih Rusia yang berada setiap seorang di dalam setiap pesawat bersama juruterbang Indonesia juga terkejut.
Mereka mengesahkan lampu amaran itu berbunyi sebagai tanda ada pihak luar sedang mengunci sistem tembakan misil pesawat berkenaan. Maknanya, ada sistem dimiliki negara tertentu di Asean berkemampuan mengunci sistem misil pesawat berkenaan.
Pemantauan komando udara Indonesia di ruang udara sekitar 370 kilometer persegi sejurus kejadian, tidak mengesan sebarang pesawat tempur negara jiran. Sementara pegawai kanan udaranya pula menolak perbuatan itu bermula daripada kapal selam berdekatan kerana sistem kapal selam tidak berupaya mematikan sistem misil Sukhoi.
Kejadian luar biasa yang dikesan Indonesia ini pasti menimbulkan tanda tanya. Apakah benar ada negara di Asean memiliki sistem luar biasa yang mampu mematikan tembakan misil pesawat Sukhoi buatan Rusia itu. Kalau benar negara mana dan sejak bila ia mempunyai sistem itu?
Jurucakap Komando Markas Udara Sultan Hasanudin, Ida Bagus Putu Dunia, mengakui lampu amaran pada kedua-dua pesawat itu berbunyi ketika sedang menjalani latihan memintas tetapi pihaknya tidak dapat mengesan pihak mana melakukannya. Kalau dikatakan berpunca daripada sistem teknikal, ia dinafikan jurulatih Rusia sementelah pula pesawat itu baru sahaja tiba dari Rusia, dibeli tentera udara Indonesia.
Kini Indonesia memiliki 7 pesawat Sukhoi SU-30 dan sedang menunggu lagi tiga menjadikannya 10 unit menjelang bulan ini. Selain Indonesia, Malaysia juga antara negara lain di Asean yang memiliki pesawat tempur keluaran Rusia itu.