SECARA peribadi saya bukanlah saudara atau sahabat rapat Sosilawati. Dalam hidup saya hanya dua kali kami sempat bertemu. Sekitar tahun 1999, sekali di Bandar Uda, dan sekali lagi di Plaza Angsana di Johor. Ketika itu saya masih bertugas di kumpulan Berita Harian Sdn Bhd.
Tidak banyak yang saya ingat tentang pertemuan itu kecuali antara yang penting saya pernah memberitahunya yang tidak semua ahli perniagaan berjaya itu adalah mereka yang mempunyai tahap pendidikan akademik yang tinggi. Saya menjangkakan allahyarham akan berjaya kerana dari wajah dan personalitinya terpancar semangat dan kegigihan untuk terus maju dalam perniagaan kosmetiknya.
Daripada rakan-rakannya saya tahu, Sosilawati dikatakan seorang yang berjiwa besar. Dikatakan mahu berjaya sangat-sangat dalam perniagaannya. Dan alhamdulillah kejayaan itu akhirnya miliknya juga.
Tentang bekas suaminya, Nash pula, saya jarang ketemu. Hanya tiga kali di Shah Alam, lebih kurang dua tahun lalu ketika dia berurusan untuk mendapatkan lesen kelas E bersendi bagi treler dan bas. Kata Nash, dalam hatinya ketika itu ada cita-cita untuk terbabit dalam perniagaan bas ekspres tetapi tidak pula dia bercerita lanjut.
Ramai sahabat saya terutama wartawan hiburan amat mengenali Nash, tetapi seperti dikatakan, Nash tidak panjang jodohnya dengan Sosilawati.
Kini itu semua hanya kenangan. Sosilawati telah pergi. Secara peribadi saya berkongsi sedih dengan cara pemergiannya. Pertama kerana dia diperlakukan sedemikian cara. Kedua kerana saya amat yakin dia boleh menjadi ikon bagi orang Melayu, khususnya wanita yang terbabit dalam perniagaan kosmetik. Memang saya mahu melihat dia menjadi ikon dan apa yang saya harapkan itu sebenarnya telah bermula.
Namun takdir mendahului segala-gala. Pemergiannya amat di luar dugaan. Kepada anak-anak Sosilawati, saya berharap, teruskan legasi allahyarham bonda anda. Walaupun dia telah tiada, semangat dan kegigihannya tetap ada untuk dijadikan perangsang supaya sebuah empayar perniagaan kosmetik yang telah terbina, dipertahankan. Biar ia menjadi contoh dan lambang kemegahan kepada anak-anak Melayu supaya sentiasa tabah menempa nama dan dihormati oleh bangsa asing dalam dunia perniagaan.