TIDAK SABAR-SABAR mahu beraya, sembilan orang ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, (JAIPs) ketika sedang mendengar khutbah sembahyang sunat Aidilfitri di sebuah surau di Seriab, Kangar, Perlis hari ini.
Sembahyang sunat itu diketuai seorang lelaki berusia 51 tahun yang bertindak sebagai imam, manakala makmumnya terdiri daripada empat sekeluarga.
Pengarah JAIPs, Abdul Malik Hussin, berkata semua yang ditahan dipercayai pengikut ajaran tertentu dari Indonesia dan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Kangar mengikut Seksyen 28 Enakmen Jenayah Dalam Syariah 1991 Negeri Perlis.
Semua yang didakwa petang tadi mengaku bersalah dan merayu diringankan hukuman. Bagaimana mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas lelaki yang bertindak sebagai imam atau empat bulan penjara dan RM900 atau tiga bulan penjara kepada yang lain.