DALAM perjalanan ke sekolah tempat mereka mengajar, Hairul Anwar Abdul Aziz, 30 dan isterinya Norhida Md Noor, 26, menghantar anak perempuan kesayangannya yang berusia tiga bulan ke sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Paroi Jaya, Seremban kira-kira jam 7 pagi semalam.
Seperti pasangan lain yang amat menyayangi permata hati, tentulah kucupan kasih dan dakapan sayang diberikan sebelum anaknya itu, Nor Azwa Safrina diserahkan kepada pekerja pusat jagaan berkenaan.
Namun, segalanya begitu pantas berlaku. Barangkali itulah kucupan terakhir buat Nor Azwa apabila berita kematiannya dimaklumkan oleh salah seorang pekerja pusat jagaan itu kepada neneknya, beberapa jam selepas dia diserahkan oleh ibubapanya.
Menurut nenek mangsa, Zadariah Ismail, 57, dia menerima panggilan daripada pekerja pusat jagaan kira-kira jam 11.30 pagi. Pekerja itu memaklumkan, Nor Azwa tidak memberi sebarang tindak balas ketika dikejutkan untuk mandi.
Zadariah bersama suaminya kemudian, berkejar ke pusat jagaan itu dan membawa Nor Azwa yang masih tidak sedarkan diri ke sebuah klinik berhampiran. Namun dia dirujuk terus kepada Hospital Tunku Jaafar, Seremban. Ketika tiba, doktor mengesahkan Nor Azwa telah meninggal dunia.
Sementara itu, kedua-dua ibu bapa Nor Azwa dikatakan enggan mengulas kerana terlalu sedih dengan kehilangan permata hati mereka itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata siasatan sedang dijalankan.