ANGIN juga bila mendengar Kita Siang mula pertikaikan kenapa ada 'double standard' dalam proses penyiasatan membabitkan Namewee dengan Siti Insyah dalam kes mereka. Kata Kit Siang, kenapa Namewee diambil keterangan hampir sembilan jam sedangkan Siti Insyah tidak.
Sebenarnya dalam kes Siti Insyah dan Namewe, manusia yang ada akal mesti mesti melihat kes itu dengan mata penuh terbuka, menimbang dengan akal tanpa prasangka. Ada dua keadaan yang amat berbeza dalam kes melibatkan pengetua sekolah berbanding budak Muar itu.
Walaupun ia dikata melibatkan kes berbaur perkauman, tetapi merit kesnya tidak sama. Atau dalam kata lain kesalahan serupa tapi darjah kesalahan yang dilakukan adalah ibarat langit dan bumi. Memang kita menentang dan tidak boleh menerima perbuatan itu kalau ia benar-benar berlaku. Soalnya, dalam proses menyiasat kes itu, kita tidak boleh menyuruh Namewee dan Siti Insyah memakai baju yang sama atau bercakap dengan ayat yang sama. Sudah tentu mereka akan bercerita dalam versi yang tidak sama dan pegawai yang menyiasat pula tentulah mempunyai soalan yang tidak sama kerana kes itu berlaku pada masa, keadaan, kebolehpercayaan dan latar belakang ingin tahu yang tidak sama!
Kenapa dikatakan begitu? Siti Insyah tidak menerbitkan video yang mudah menunjukkan dia ada berkata "Balik Cinalah!". Kata-kata atau perlakuan Siti Insyah dalam kes itu kalau ada, tidak diucapkan secara meluas. Perbuatan Siti Insyah tidak sampai kepada 27 juta rakyat Malaysia. Apa yang Siti Insyah buat tidak diketahui banyak pihak sebenarnya, kecuali di kalangan pelajar yang kemudian cerita itu disebarluas.
Berbanding apa yang budak itu buat, amat jauh bezanya dengan apa yang Siti Insyah buat. Budak itu siap menerbitkan klip video. Klip video mengandungi kata-kata tidak enak dengan sindiran sensitif dan isyarat lucah itu sengaja disebar dan telah disebar serta diterima secara meluas. Perbuatan itu mudah dibuktikan! Satu perbuatan yang sensitif telah terbukti berlaku secara jelas dan nampak sifatnya secara fizikal. (Soal salah atau tidak perkara kedua). Dan yang paling penting, apa yang Namewee buat adalah untuk kali kedua. Bagi Siti Insyah kalau benarpun dia melakukan perbuatan itu, ia adalah kali pertama dilakukannya.
Mekanisme lain juga kena dipertimbangkan dalam melayani kes ini sebab Siti Insyah itu ada majikan, dan dia juga adalah pegawai kerajaan yang tertakluk kepada peraturan tertentu, Sudah tentu Siti Insyah dipanggil majikannya, kementerian pelajaran. Sementara Namewee pula seorang penyanyi rap atau hip-hop dan kalau ada jabatan rap atau hip-hop, dia juga mesti dipanggil oleh jabatan itu. Sayangnya jabatan itu tidak ada!
Maka, disebabkan oleh dua merit yang berbeza atas satu kesalahan yang dikatakan sama, proses penyiasatannya tentulah berbeza. Dan tentulah juga elemen-elemen seperti masa dan cara diambil serta digunakan dalam proses menyiasat itu juga berbeza.
Ini bukan soal Namewee itu Cina dan Siti Insyah itu Melayu. Ini yang Kit Siang kena faham. Jangan sampai malukan company bro!