MEREKA yang didapati menghina agama di dalam laman facebook termasuk Katy Lim Li Lian, tidak akan dilepaskan begitu sahaja kerana perbuatan itu amat besar kesalahannya, kata Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Beliau mengulas beberapa kejadian di dalam internet membabitkan penghinaan agama dan elemen berunsur perkauman sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan masyarakat semakin marah.
Menurutnya, perbuatan itu jika tidak dikenakan tindakan tegas dibimbangi menular menjadi kemarahan yang tidak terkawal dan tidak baik untuk perpaduan di dalam negara.
Selain Katy Lim Li Lian yang terang-terang menghina Allah dan agama Islam, ada juga laman facebook yang menjurus ke arah kebencian kaum seperti Melayu Babi dan klip video Namewee yang kasar, lucah dan penuh penghinaan kepada sesuatu bangsa.
Nampaknya, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah menyatakan pendirian mereka terhadap isu itu. Maka tindakan daripada agensi berkaitan amat dituntut supaya tidak ada yang naik lemak, tidak ada diberi muka dan tidak ada yang diberi peluang memijak kepala!