INDONESIA akan mempunyai Ketua Polis dan Ketua Tentera Baru, bulan depan apabila kedua-dua pemegang jawatan itu kini, Jeneral Bambang Hendarso (Polis) dan Jeneral Djoko Santoso (Tentera) akan bersara wajib.
Ia disahkan Presiden Susilo Bambang Yudiyhono kepada wartawan media negara itu semalam. Sambil berharap penyerahan kuasa kedua-duanya tidak dijadikan bahan spekulasi politik ekoran keadaan tegang sekarang, Susilo memberitahu pertukaran itu adalah perkara biasa bagi pegawai yang akan bersara.
Mereka dijangka bersara 10 Oktober depan dengan dua calon untuk menggantikan jawatan ketua polis sedang hangat dipercaturkan oleh pemimpin politik negara itu. Sementara pengganti ketua tentera pula masih belum menerima sebarang khabar.
Difahamkan, dua calon yang sedang dipertimbangkan bagi menjawat jawatan ketua polis Indonesia menggantikan Bambang Hendarso ialah jeneral tiga bintang, Imam Sudjarwo dan Nanan Sukarna. Bagaimanapun jeneral Nanan dikatakan paling digemari.
Bagai kebetulan, pertukaran ketua polis Indonesia ini berlaku hanya selepas sebulan Ketua Polis Negara kita, Tan Sri Musa Hassan melepaskan jawatannya untuk diambilalih oleh penggantinya, Tan Sri Ismail Omar.